Kolam tadahan 'hilang' ditimbus sisa bahan binaan - Utusan Malaysia

Kolam tadahan ‘hilang’ ditimbus sisa bahan binaan

SANDREA Ng Shy Ching meninjau timbunan sisa bahan binaan yang menimbus kolam tadahan menyebabkan sistem saliran terjejas di Kampung Pasir Puteh di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Puteh di sini ditenggelami banjir jika hujan lebat didakwa berpunca daripada sistem saliran tersumbat akibat pembuangan sampah.

Malah disebabkan keadaan itu, kadangkala proses pengebumian berdepan kesulitan kerana liang lahad akan dipenuhi air setelah dikorek.

Dipercayai kejadian berlaku disebabkan kawasan bersebelahan yang dikatakan sebuah kolam tadahan telah hilang sejak beberapa tahun akibat timbunan buangan sisa bahan binaan di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching percaya keadaan itu terjadi akibat pembuangan sisa bahan binaan sejak sekian lama.

“Keadaan ini dikatakan membawa beberapa masalah kepada penduduk tempatan, antaranya kerap berlaku kebakaran dan menyebabkan sistem saliran yang ada telah tersumbat dan tidak dapat berfungsi,” katanya semasa mengadakan lawatan ke kawasan tersebut di sini hari ini.

Difahamkan kolam tadahan tersebut sudah tidak wujud sejak lima tahun lalu dan tinjauan mendapati kawasan tersebut juga berpagar dan berkunci.

Sandrea berkata, kehadirannya bersama beberapa jabatan berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ke kawasan itu hari ini untuk mengumpul maklumat bagi tindakan seterusnya.

Katanya, pihak terbabit akan menyemak status tanah tersebut memandangkan pada tahun 2019 kawasan itu dikatakan telah diwartakan sebagai kawasan kolam tadahan.

Jelasnya, pihaknya juga akan mengkaji cadangan untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi rekreasi bagi penduduk setempat.

“Kita akan semak balik dari segi pewartaan yang telah diluluskan. Baru-baru ini juga terdapat cadangan daripada pihak pusat khidmat wakil rakyat untuk tapak ini boleh dipertimbangkan untuk jadikan sebagai tapak rekreasi memandangkan kolam yang asal sudah ditambak,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN