PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan amalan sifar toleransi terhadap sebarang bentuk perlakuan buli di tempat kerja.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai terlibat dalam perlakuan itu.
Beliau berkata, tindakan itu termasuk kepada pegawai atau pengurusan tertinggi jika mereka didapati melindungi perbuatan itu.
“Saya sendiri telah mengambil tindakan memecat seorang pegawai ketika penggal pertama menerajui kementerian ini.
“Amalan toksik buli di KKM ini, mungkin tidak ramai yang ingat, tapi saya ingatkan kepada semua, penggal pertama lagi saya telah mengambil tindakan terhadap seorang ketua jabatan sebuah hospital di Lembah Klang.
“Walaupun jawatan beliau itu tinggi dalam hierarki perjawatan dalam KKM ini namun, saya ingatkan sifar toleransi terhadap tingkah laku buruk ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja, di sini hari ini.
Katanya, antara amalan sifar toleransi buli memberi keutamaan dan melindungi pemberi maklumat yang membuat aduan berkenaan kes buli.
Dr Dzulkefly berkata, setakat 31 Julai lalu, sistem pengurusan buli (MyHELP) telah menerima kira-kira 430 aduan berkaitan buli.
Menurutnya, pihaknya akan mengambil perhatian dan telus terhadap mana-mana aduan yang dibuat tanpa culas dan cuai.
“Saya minta supaya setiap ketua-ketua jabatan supaya mengambil serius terhadap apa-apa aduan buli yanh diterima. Saya tak mahu dengar ada aduan yang tidak diberi perhatian.
“Semua aduan harus disiasat dengan teliti, berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan kerahsiaan, demi melindungi pengadu serta pihak berkaitan.
“InsyaAllah kita nak budayakan perkara ini, ia bukan tinggal dokumen, kita nak laksanakan dan budayakan garis panduan ini,” katanya. – UTUSAN