Kim Jong Kook bakal kahwin, jumpa jodoh lepas 30 tahun jadi artis
SEOUL: Bintang program popular, Running Man, Kim Jong Kook, mengumumkan bakal berkahwin dengan kekasihnya di Seoul, Korea Selatan tidak lama lagi.
Pengumuman itu dikongsikan Kim menerusi sepucuk surat yang di muat naik agensinya, Turbo.JK Company di media sosial menyatakan kegembiraan pelakon itu bertemu belahan jiwa selepas 30 tahun bergelar artis.
“Aku akan berkahwin. Secara jujurnya, saya cuba beri petanda kecil di sana sini tetapi saya tahu ramai yang beranggapan semua ini macam tiba-tiba sahaja terjadi.
“Tahun ini adalah ulang tahun ke-30 debut saya, ternyata saya bukan berikan album sebaliknya bertemu jodoh.
“Jadi saya mohon anda memberikan sokongan. Mungkin jodoh saya datang agak lewat tapi saya lega ia akhirnya terjadi,” tulisnya.
Bagaimanapun, Kim tidak mendedahkan siapakah gerangan bakal isteri dan hanya memaklumkan majlis itu nanti hanya akan dihadiri rakan dan keluarga terdekat.
“Majlis pernikahan akan diadakan tidak lama lagi dalam skala kecil bersama keluarga, rakan‑rakan terdekat, dan beberapa kenalan.
“Terima kasih kepada para peminat yang telah menjadi kekuatan terbesar hidup saya selama ini.
“Kini saya akan berkahwin dan memulakan hidup dengan cabaran baru. Saya akan terus bekerja dengan lebih gigih,” katanya.-UTUSAN