Ketandusan pelapis irama Malaysia? Saya rasa tidak - Siti Nurhaliza - Utusan Malaysia

Ketandusan pelapis irama Malaysia? Saya rasa tidak – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam era muzik digital yang dikuasai oleh aliran pop moden, hip hop dan K-pop, ramai yang beranggapan irama tradisional Melayu semakin dilupakan dan hanya tinggal sebagai catatan sejarah budaya.

Namun bagi Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, muzik tradisional masih subur dalam denyut nadi seni tanah air, cuma belum cukup usaha dilakukan untuk mencungkil dan menggilap pelapis baharu agar mampu mengangkat warisan tersebut ke arus perdana.

Siti, yang tidak pernah surut memperjuangkan irama warisan sejak awal pembabitannya dalam dunia seni lebih dua dekad lalu, yakin bahawa seni muzik tradisional belum berada di ambang kepupusan.

“Kalau orang kata kita ketandusan komposer dan penulis lagu tradisional, saya rasa tidak. Cuma mereka belum diberi cukup peluang untuk menyinar.

“Mungkin peluang untuk mereka memberi, mencipta itu kurang. Saya ini mungkin sebab saya kebetulan buat album penuh tradisional. Jadi saya memang minta dan peluang untuk orang berikan saya lagu-lagu tradisionak itu banyak lagi.

“Tetapi jauh di sudut hati, saya pun berharap agar ramai lagi kalangan artis-artis popular sekarang ini terutama generasi muda, boleh mulakan dengan cuba menyelitkan satu atau dua lagu irama tradisional atau kontemporari dalam album mereka.

“Janji kita masih ada lagu-lagu yang seperti ini bukan? Saya percayalah, artis macam Ernie Zakri, Aina Abdul, Nadeera, semua boleh nyanyi lagu tradisional dengan baik,” katanya.

Tambah penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu berunsur etnik kreatif seperti Cindai, Nirmala, dan Balqis itu, album baharu berkonsep tradisional yang dijangka siap penghujung tahun ini.

Dengan komitmen tinggi serta minat mendalam terhadap muzik tradisional, Siti bukan sahaja mahu meneruskan legasi seni yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh besar seperti Allahyarham Pak Ngah, malah berusaha mencari wajah-wajah baharu yang mampu menyambung perjuangan dalam memper­kasakan genre terse­but.

Pada masa yang sama, kata Siti, dia sedar sukar untuk mana-mana komposer atau pencipta lagu mendapatkan sentuhan sama seperti Allahyarham Pak Ngah dalam aspek penghasilan lagu tradisional.

“Pak Ngah itu bagi saya, satu legenda. Kita tak boleh nak salin identiti dia. Tapi kalau ada lagu yang mampu bawa 50 peratus daripada kekuatan lagu-lagu Pak Ngah pun, saya dah bersyukur.

“Komposer sekarang ada identiti sendiri dan itu juga penting. Kita pun tak boleh paksa orang untuk buat lagu sama macam Pak Ngah buat. Sebab masing-masing ada jati diri sendiri bukan.

“Macam Pak Ngah, kita akan kenangkan dia sebab arwah sudah mempunyai satu legasi muzik tersendiri yang dia tinggalkan untuk pelapis baharu. Jadi yang lain ini tinggal kita cungkil lah, InsyaAllah,”katanya.

ALBUM 10 LAGU
Dalam pada itu, berbicara mengenai penghasilan album baharunya itu kelak, kata isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini, album itu bakal memuatkan 10 lagu.

Antara panel pemilih lagu termasuk pasukan dari Universal Music, pasukan produksi Siti Nurhaliza Productions (SNP), serta penasihat muzik yang tidak asing lagi, Aubrey Suwito.

“Setiap kali terbit album, saya akan duduk bersama pasukan Universal, SNP dan juga Aubrey. Dia tahu hala tuju muzik saya dan jadi penasihat dalam memastikan album ini konsisten dan tidak ‘caca marba’.

“Album ini mendapat kerjasama daripada My Creative Ventures. Sekarang ini saya terima banyak lagu yang daripada komposer-komposer yang biasa saya bekerjasama.

“Jadi saya minta bantuan daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) sebab mereka selalu buat bengkel-bengkel cipta lagu. Dulu, album Lentera Timur hasil daripada karya mereka yang menyertai bengkel-bengkel anjuran MACP,”katanya.

Usik Siti, kerana menerima lambakan lagu daripada pelbagai pihak, perkara itu juga menimbulkan kekusutan untuknya membuat pilihan terbaik.

“Setakat ini saya terima lebih daripada 50 buah lagu.

“Pening sebab kita kena tapis. Kita tak boleh pilih kasih atau pilih satu-satu yang kita kenal sahaja. Kena dengar semua. Sehingga hari ini pun saya masih terima lagu tetapi kalau nak bagi lagi, syarat kena sempurna,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN