Kereta terbakar atas jambatan punca jalan sesak

Kereta terbakar atas jambatan punca jalan sesak

ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran melibatkan sebuah Perodua Myvi di atas Jambatan Pulau Pinang, hari ini.-GAMBAR/JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebuah kereta jenis Perodua Myvi musnah dalam satu kebakaran di Kilometer 6.8, Jambatan Pulau Pinang menghala ke arah utara di sini, pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.04 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak kemudian dikerah ke lokasi dan mendapati, hampir 90 peratus daripada kenderaan tersebut hangus terbakar.

“Operasi pemadaman selesai sepenuhnya kira-kira pukul 7.47 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran ini,” katanya yang memaklumkan, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Difahamkan, susulan kebakaran pada waktu puncak itu, banyak kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas untuk tempoh yang agak lama.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, John berkata, tiga individu terselamat dalam satu lagi insiden kebakaran kenderaan, malam tadi.

Katanya, insiden itu berlaku apabila kereta Honda City yang dinaiki oleh mangsa terbabas dan melanggar tiang elektrik di Kilometer 143, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, berhampiran Perai di Butterworth.

“Kebakaran itu berpunca daripada pelanggaran tiang elektrik sehingga menyebabkan bahagian enjin kenderaan tersebut terbakar,” katanya yang memberitahu, orang ramai bagaimanapun berjaya memadam kebakaran berkenaan lebih awal sebelum ketibaan anggota bomba.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN