Kerajaan sasar anjur 20,000 program jualan Rahmah 

Kerajaan sasar anjur 20,000 program jualan Rahmah 

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan penganjuran 20,000 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di semua 222 kawasan Parlimen sepanjang tahun ini, selaras dengan peningkatan peruntukan yang disalurkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sehingga Julai lalu, sebanyak 13,060 siri PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara dengan 15,626,464 transaksi, memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“PJRM adalah salah satu ikhtiar di bawah inisiatif Payung Rahmah dan mekanisme intervensi bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat. Program ini menawarkan penjualan barangan keperluan harian, makanan dan bukan makanan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa sesuatu kawasan dan sekitarnya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung strategi dan inisiatif baharu yang dirancang bagi memastikan peningkatan peruntukan sebanyak RM600 juta untuk PJRM benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.

Armizan berkata, kementerian turut menambah peruntukan membabitkan tiga elemen utama PJRM antaranya penambahan kekerapan pelaksanaan dan jenis barangan serta kepelbagaian model pelaksanaan.

Katanya di bawah penambahan kekerapan pelaksanaan, bilangan penganjuran jualan akan diperbanyakkan dan kekerapan ditingkatkan daripada sasaran awal 15,360 siri PJRM kepada 20,000 siri PJRM setahun sehingga Disember 2025.

“Selain itu, SKU baharu akan ditambah mengikut keperluan tempatan dan musim perayaan. Liputan barangan termasuk keperluan sekolah, barangan basah serta keperluan pelajar.

“PJRM juga akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh melalui tiga model, jualan di dalam premis; jualan di kawasan terbuka dan jualan secara bergerak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN