PETALING JAYA: Penganjur Festival Filem Asia‑Pasifik ke‑61 di Macau, China yang mendakwa ahli Federation of Motion Picture Producers in Asia‑Pacific (FPA) yang sah tampil memberikan penjelasan berhubung isu majlis anugerah yang timbul.
Menurut kenyataan akhbar yang dikongsikan, mereka mendakwa APFF 61 yang dianjurkan di China pada 22 Februari tahun ini adalah yang sah, paling berautoriti melibatkan 1,000 filem dari 40 negara.
“Juri festival diketuai oleh Huang Bo, Timbalan Pengerusi Persatuan Filem China.
“Turut sama menjurikan anugerah itu adalah Huo Tingxiao, Timbalan Pengerusi Persatuan Filem China, Lee Yong‑kwan, Pengerusi Festival Filem Antarabangsa Busan, Li Lichi, pengarah filem Hong Kong
dan Adisurya Abdy, Pengerusi Festival Filem Indonesia.
“Kehadiran barisan juri hebat ini menandakan kredibiliti tinggi festival tersebut dan setiap anugerah yang dikeluarkan adalah diiktiraf secara rasmi tanpa ragu,” tulis mereka.
Menurut mereka, pihaknya tidak pernah memberi kebenaran mana-mana negara dan insitusti menggunakan nama majlis anugerah tersebut di tempat mereka.
“Sekiranya hal itu terjadi, ia disifatkan sebagai palsu dan berlaku pelanggaran hak,” tulisnya lagi.
Terdahulu, timbul pertikaian apabila terdapat dua festival filem menggunakan nama sama dengan senarai pemenang berbeza.
Setiausaha Agung Federation Motion Producer in Asia Pacific (FPA), Panchacharam Nalliah menjelaskan Festival Filem Asia Pasifik ke-61 yang sah hanya diadakan di Genting Highlands pada 29 November hingga 1 Disember 2024.
Menurut Pengerusi Penganjuran Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-61, Aron Koh pula, pihaknya kecewa dengan kekeliruan yang timbul dan menyifatkan festival filem yang menggunakan nama sama di China sebagai palsu dan tidak diiktiraf serta tidak mempunyai sistem penjurian yang berkaliber. -UTUSAN