KOTA BHARU: Peguam bela yang mengendalikan kes kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai menjadi mangsa bunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, dekat sini pada 2013, sedang menunggu laporan serahan saman selepas memfailkan perkara tersebut.
Dr. Zulqarnain Lukman berkata, serahan dokumen itu dibuat Selasa lalu.
“Buat masa ini kami sedang menunggu laporan serahan saman. Jika ada perkembangan lanjut, kami maklum dari masa ke masa. Ini sahaja perkembangan terbaharu yang boleh kami kongsikan,” katanya ringkas.
Sebelum ini media melaporkan, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris yang dipercayai menjadi mangsa bunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada 2013, memfailkan saman bagi membolehkan siasatan kes kematian pelajar tahfiz itu dibuka semula.
Writ saman sivil itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 28 Julai lalu terhadap tiga pihak utama membabitkan Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara serta Pegawai Penyiasat kes.
Zulqarnain berkata, tindakan undang-undang itu sebagai mewakili perjuangan berterusan ibu Allahyarham, Ruhani Hussin, 70, untuk mencari kebenaran berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata, ia bukan hanya demi Wan Ahmad Faris tetapi juga setiap anak yang berhak mendapat maruah dalam hidup dan keadilan selepas meninggal dunia.
Pada Disember 2013, mayat Wan Ahmad Faris yang juga pelajar Tingkatan Empat ketika itu, ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas.
Mayatnya dijumpai penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas itu.
Susulan hasil bedah siasat, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah. – UTUSAN










