PUTRAJAYA: Kejayaan penganjuran Borneo Flora Festival (BFF) 2025 di Labuan baru-baru ini bukan sahaja membuka ruang pelaburan, malah memperkasa usahawan tempatan.
Ini termasuk membuka peluang untuk merangka model kerjasama awam-swasta yang dilihat dapat meningkatkan kapasiti penginapan serta memperkukuhkan jaringan pengangkutan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, ini kerana Labuan berdepan dengan cabarannya yang tersendiri iaitu dari segi skala pasaran dan kebergantungan kepada industri tertentu.
“Labuan memiliki potensi yang jauh melangkaui sempadan pulau tersebut. Kedudukan strategik Labuan di tengah-tengah kepulauan Borneo meletakkannya dalam ekosistem serantau yang melibatkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
“Ini menjadikannya satu gabungan populasi melebihi 20 juta orang secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap sempena Majlis Apresiasi Rakan Strategik Borneo Flora Festival 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, sasaran awal jumlah pengunjung yang hadir ke festival itu kira-kira 50,000 orang, namun jumlah sebenar menggunakan pengimbas kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) merekodkan 120,154 orang.
Jelasnya, rata-rata yang hadir juga bukan hanya penduduk setempat, malah festival itu turut menerima pengunjung dari Sabah, Sarawak serta Semenanjung seperti Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan serta pelancong dari Filipina, Brunei, Indonesia, Timor Leste, China dan India.
“Anggaran perbelanjaan yang masuk ke Labuan sepanjang lima hari itu adalah hampir RM22 juta. Manakala, nilai tambah berganda pada kesan ekonomi tersebut kita anggarkan lebih RM35 juta,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, di sebalik kejayaan yang membanggakan itu, terdapat isu dan cabaran yang perlu ditangani dengan serius antaranya berkenaan kapasiti penginapan yang masih terhad, sehingga ada pelawat yang terpaksa menempah lebih awal atau mendapatkan penginapan di luar pulau.
“Labuan perlu dilihat sebagai pusat tumpuan yang berhubung rapat dengan seluruh Borneo, menjadi pintu masuk perdagangan, pelancongan, budaya dan kerjasama rentas negara.
“Pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur adalah peluang besar yang perlu kita rebut. Kedudukan Labuan di laluan maritim serantau membolehkan kita menjadi destinasi persinggahan utama, pusat logistik dan hab acara antarabangsa yang menghubungkan IKN dengan pasaran dan pelancong dari seluruh rantau ini,” katanya. – UTUSAN