Kay’s Steak and Lobster bawa Hanwoo halal, pertama di Malaysia - Utusan Malaysia

Kay’s Steak and Lobster bawa Hanwoo halal, pertama di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali, daging premium Korea Selatan, Hanwoo, kini boleh dinikmati dalam versi halal di Malaysia. Ini menjadikan Malaysia antara empat negara di dunia yang mendapat akses kepada Hanwoo halal, selain Korea, Hong Kong dan Taiwan.

Pengarah Urusan Kay’s Steak & Lobster‚ Muhammad Aizuddin Mohd Khalid berkata, usaha membawa masuk Hanwoo bermula sejak tahun lalu selepas mengetahui Korea Selatan telah mula menghasilkan versi halal daging tersebut.

“Kita mula bawa masuk dari tahun lepas. Kita dapat tahu Hanwoo dah ada versi halal dan mula dipasarkan. Tapi kuantiti sangat terhad. Negara besar seperti Amerika Syarikat dan UAE pun belum dapat akses.

“Proses pemilihan lembu Hanwoo sangat ketat dan memerlukan baka khusus, penjagaan pemakanan, serta proses penggemukan yang terkawal.

“Sama macam Wagyu, Hanwoo ada grading. Tapi masih baru dalam pasaran halal, jadi kita juga sedang belajar. Saya sendiri rasa kualiti dia lebih baik daripada Wagyu.

“Kami juga memiliki sijil halal yang disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” ujarnya.

Ujarnya, restoran Kay’s kini merupakan satu-satunya restoran di Malaysia yang menghidangkan Hanwoo halal dengan pengiktirafan sah.

“Kita sendiri yang daftar dan bawa masuk Hanwoo ini untuk proses pensijilan halal, dan permohonan kita telah diluluskan oleh badan halal Malaysia.

“Dari segi penyediaan, daging Hanwoo diolah dalam gaya barat tetapi mengekalkan elemen Korea seperti kimchi sebagai hidangan sampingan.

“Kita bukan restoran Korea, jadi kita sajikan dalam bentuk steak barat. Tapi kita kekalkan elemen Korea seperti kimchi. Sos pula berasaskan soy sauce dengan radish untuk potong rasa lemak daging.

“Menu Hanwoo ini sudah tersedia untuk pelanggan dengan pilihan masakan seperti medium dan medium-well. Saiz hidangan sekitar 200-250g dengan harga bermula RM289, bergantung pada potongan.

“Untuk permulaan, kita guna potongan sekunder supaya portion lebih besar pada harga yang masih berpatutan. Kalau dibandingkan, portion Hanwoo lebih besar berbanding Wagyu dengan harga sama,” jelasnya.

Disebabkan Hanwoo masih belum dikenali ramai, pihak restoran sedang giat mendidik pelanggan tentang perbezaan rasa dan kualiti daging ini.

“Wagyu orang dah biasa. Tapi untuk Hanwoo, kita latih staf dan terangkan beza rasa. Hanwoo lebih ‘beefy’ dan siapa yang suka makan steak akan perasan perbezaannya.

“Pihak restoran turut menyatakan minat untuk mendapatkan pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records sebagai restoran pertama yang menawarkan Hanwoo halal,” jelasnya.

Pihak restoran turut merancang untuk menambah variasi potongan Hanwoo bergantung kepada sambutan pelanggan.

“Kalau permintaan tinggi, kita boleh minta pembekal untuk sediakan potongan seperti tomahawk. Kita juga akan cuba perkenalkan potongan kecil pada harga lebih rendah supaya lebih ramai dapat cuba.

“Dengan kualiti dan rasa tersendiri, Hanwoo kini menjadi satu lagi pilihan buat pencinta daging tempatan dan Malaysia kini membuka jalan untuk memperkenalkan Hanwoo halal kepada dunia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN