KUALA LUMPUR: Kolaborasi penyanyi berbakat besar iaitu Aisha Retno, Aziz Harun dan Nadhif Basalamah menerusi lagu ‘Kota Ini Tidak Sama Tanpamu’ sarat dengan emosi.
Mewakili Malaysia, Indonesia dan Brunei, lagu ini dicipta secara spontan ketika kunjungan Nadhif ke Kuala Lumpur sempena Hari Raya Aidiladha tahun lalu.
Sarat bait lirik yang menyentuh hati disulami dengan keharmonian vokal tiga penyanyi, Kota Ini Tak Sama Tanpamu berjaya melahirkan rasa rindu pendengar kepada insan istimewa yang berjauhan.
“Bekerja dengan Nadhif dan Aziz seperti pertemuan kawan lama walaupun ini kali pertama kami berkolaborasi.
“Lirik lagu ini ada rasa manis dan sedikit ‘cheeky’ bila seseorang cuba memujuk untuk sambung cuti di kota itu,” kata Aisha.
Menerima sentuhan penerbit terkenal Indonesia, Petra Sihombing, lagu ini menjadi sebuah karya pop yang istimewa.
“Tak sangka idea kecil di studio itu berkembang menjadi sebuah lagu yang kini menghubungkan tiga negara.
“Saya bersyukur kerana Aisha dan Aziz berjaya memberi emosi dan warna mereka ke dalam lagu ini,” ujar Nadhif.
Lagu ini kini boleh diperdengarkan dan dimuat turun di Spotify, Apple Music, YouTube Music, Deezer dan semua platform penstriman digital utama.- UTUSAN










