MELAKA: Kampung Duyong di sini yang berusia 600 tahun dicadangkan agar diangkat sebagai Kampung Warisan sekali gus dijadikan tarikan sejarah dan pelancongan baharu Melaka.
Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin berkata, perkampungan itu mempunyai nilai sejarah cukup tinggi termasuk kaitan rapat dengan tokoh Laksamana Hang Tuah.
Katanya, Kampung Duyong yang dikatakan dibuka sekitar tahun 1441 oleh Tun Mahmud iaitu bapa kepada Hang Tuah turut menyimpan pelbagai makam tokoh penting termasuk Bendahara Tun Perak, Tun Kudu dan Tun Perpatih Putih.
“Kalau Hang Tuah tidak pernah tinggal di sini, sudah tentu tidak akan wujud Jalan Hang Tuah di sekitar kampung ini. Sejak turun-temurun, penduduk di sini mengiktiraf kawasan ini sebagai tempat asal Hang Tuah dan keluarganya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Khalid berkata, usaha tersebut sudah dimaklumkan kepada Jabatan Warisan Negara serta Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) bagi mendapatkan panduan tentang kriteria yang perlu dipenuhi untuk menjadikan Kampung Duyong sebagai Kampung Warisan.
“Pesawad berharap ia mendapat sokongan kerajaan negeri sekali gus dapat memberi perhatian serius kerana jika Kampung Baru Cina boleh diangkat sebagai kampung tradisional hingga ke peringkat UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu), mengapa tidak Kampung Duyong yang sudah ratusan tahun usianya.
“Selain nilai sejarah, pewartaan ini juga mampu memberi impak ekonomi dengan menarik lebih ramai pelancong domestik dan luar negara melalui konsep muzium hidup di kampung ini,” katanya.
Beliau berkata, Kampung Duyong bukan sahaja berpotensi dibangunkan sebagai pusat pelancongan warisan, namun boleh diketengahkan aktiviti kebudayaan, seni mempertahankan diri seperti silat serta pameran kulinari tradisional.-UTUSAN









