GELANGGANG seni hiburan sering dihiasi dengan isu kontroversi dan sensasi hingga adakalanya menyaksikan satu persatu artis atau selebriti menjadi ‘mangsa’ omongan negatif di media sosial tanpa belas ihsan.
Pun begitu, di sebalik kisah-kisah panas atau kontroversi itu, Alif Satar, teguh berdiri sebagai satu nama yang kekal dengan reputasi bersih serta konsisten dengan imej ‘budak baik’ yang sukar digugat.
Dua dekad meniti perjalanan seni, penampilannya yang sentiasa kemas, sopan dan merendah diri menjadikan Alif antara selebriti paling disenangi oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Malah, seiring kematangan usia dan pengalaman hidup, Alif kini dilihat lebih ke hadapan dalam mengangkat mesej kebaikan.
Tanpa menyandang sebarang gelaran agamawan, Alif secara tidak langsung menggalas peranan sebagai pemangkin dakwah kontemporari, menyebarkan nilai-nilai murni, menyeru kepada perubahan positif dan membimbing pengikutnya melalui cara yang sederhana tetapi berkesan.
Pun begitu, di sebalik pujian dan tanggapan serba sempurna yang sering dilemparkan kepadanya, Alif berpijak di bumi nyata. Dia sedar, setiap insan tidak terlepas daripada kemungkinan melakukan khilaf, termasuk dirinya sendiri.

Cukup dia bimbang andai ada yang meletakkan dirinya di tempat yang terlalu tinggi sehingga terlupa bahawa dia juga cuma manusia biasa.
“Sejak saya mulakan gerakan Geng Subuh Macam Jumaat, ini, ramai mula anggap saya seorang artis yang juga pendakwah. Tapi saya bukan pendakwah. Saya cuma seorang figura awam yang menggunakan pengikut dan platform yang ada untuk ajak orang ke arah kebaikan.
“Siapa yang tak mahu ajak orang ke masjid? Bayangkan, besarnya pahala apabila dapat bawa orang ke rumah Allah. Kalau kita boleh ajak orang ke konsert, kenapa tidak ke masjid?
“Kadang-kadang bila orang tengok ada artis pun pergi masjid dan ajak orang lain, itu pun sudah cukup positif.
“Saya rasa orang pun nampak benda ini satu perkara yang baik. Ada saja artis lain yang buat perkara sama. Yang ajak ke arah kebaikan. Cuma, ramai terlalu sinonimkan artis dengan dunia hiburan, dengan hal-hal lalai,”katanya.
Secara peribadi, bagi Alif, ini adalah satu daripada makna kehidupan, yang seharusnya mempunyai keseimbangan antara dunia dan akhirat.
”Kita kena buat kedua-duanya. Dalam masa kita bekerja dan teruskan hidup, kita juga perlu fokus pada akhirat. Apabila kita tunjuk gambaran baik, bukan bermakna kita maksum atau sempurna. Kita tetap manusia biasa.
“Kita tak lari daripada buat silap. Mungkin kadang-kadang terbuat dosa tanpa sedar, mengumpat, bercakap tentang orang, semua itu boleh berlaku.

“Tapi ini bukan soal saya hendak gambarkan diri sebagai orang baik, bukan. Ini memang diri saya. Bukan palsu, bukan dibuat-buat. Contohnya, saya ajak orang jogging pagi-pagi, saya sendiri buat. Sebelum saya promosi sesuatu, saya sendiri cuba dan pakai,”katanya.
Pun begitu, pelakon berusia 35 tahun ini mengakui, andai sebarang perkara baik yang dilakukannya itu tetap mengundang pandangan serong orang, itu hak mereka.
Ini kerana, apa yang penting, dirinya telah berusaha untuk mengubah persepsi sesetengah masyarakat terhadap golongan selebriti itu sendiri.
“Namun, kalaulah saya sendiri pun ada tersilap atau ada melakukan kekhilafan, saya harap orang boleh maafkan.Kita manusia. Hari-hari kita beristighfar pun kadang-kadang tanpa sedar kita ada juga terbuat dosa.
“Saya sendiri sentiasa cuba berjaga-jaga, terutama bila mengacara atau bercakap depan orang ramai. Sebab saya tahu, ada saja orang yang tunggu kita buat silap.
“Sebab itu saya cakap, kalau satu hari nanti saya tersilap, saya harap orang dapat maafkan. Itu saja saya mahu sampaikan.
“Apabila di media sosial atau di TV, saya memang sangat jaga soal sensitiviti. Sebab itu, cara penyampaian saya. Mungkin nampak membosankan bagi sesetengah orang, tetapi bagi saya, lebih baik begitu, asalkan selamat,”katanya.
Kerjaya artis tiada class?
Memancing perhatiannya mengenai tindakan sesetengah pihak yang memandang kerjaya sebagai anak seni ini sebagai tiada class atau diperlekeh, pelakon filem Pulau dan Reeza GTR ini ada pendapat peribadi.
Berasa hairan, pelakon ini menganggap, setiap kerjaya mempunyai cabaran, peranan dan tanggungjawab tersendiri.
“Kenapa ada orang yang memilih untuk melihat kerjaya seni ini dari perspektif negatif? Sebenarnya, mindset itu harus diubah sepenuhnya dalam masyarakat kita.

“Ada saja orang dalam bidang lain, yang diberi tanggungjawab besar tapi tetap memanipulasi orang lain. Tapi bila golongan artis buat salah, mudah sangat masyarakat nak menghukum sebab artis ini kata mereka, figura awam, sasaran yang mudah.
“Sebab itu, apabila ada yang pilih jalan ini (bergelar figura awam), secara automatik tanggungjawab itu datang. Anda kena sedar, ada orang yang mungkin menjadikan diri anda sebagai idola atau contoh.
”Jadi, kita kenalah potretkan impak positif dan teladan yang baik,”katanya.
Bagaimanapun, bergelar artis dan selebriti tentu tidak mudah kerana ada harga yang harus dibayar.
“Contohnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mungkin dia tidak bebas atau sewenangnya berjalan ke pasar malam. Bukan kerana sombong, tetapi kerana kekangan status sebagai figura awam.

“Orang mudah sangat nak kata artis ini tak relevan. Tapi dalam masa yang sama, mereka masih ambil bahan kandungan dari artis, masih tonton cerita atau lagu mereka.
“Ironinya, ramai juga yang lebih gemar ambil bahan kandungan dari TikTok, katanya lebih real. Tapi di akhirnya dan persoalan sebenar ialah, apa sebenarnya nilai yang kita pegang sebagai seorang artis atau selebriti itu?”tanyanya.
Pernah meluat dengan gelaran artis
Alif juga tidak menafikan pernah berperang dengan perasaan meluat apabila dirinya mula bergelar artis. Malah secara peribadi, dia mengaku tidak pernah menganggap dirinya seorang artis sejak dahulu.
“Sebenarnya bukan dulu sahaja, sekarang ini masih rasa meluat bila orang digelar artis. Sebab, saya dari dulu pun tidak pernah rasa macam artis sangat pun. Tapi bagi saya, istilah ‘artis’ hanyalah label.
“Yang penting, seseorang itu tahu nilai dan tujuan hidup mereka, tidak kira apa jua kerjaya. Tak kisahlah awak artis ke, peguam ke, ahli politik ke, pendakwah ke, semuanya kembali pada diri sendiri.
“Iaitu apa nilai yang kau hendak pegang? Apa sumbangan kau pada masyarakat? Itu yang lebih penting,” katanya.
Petanda industri tidak perlukan anda
Selain itu, ditanya mengenai pandangannya berhubung kehadiran pelapis baharu dalam industri seni tanah air, terutamanya yang muncul daripada pelbagai platform pertandingan realiti dan media sosial, sebagai contoh Raise The Star Malaysia di saluran Astro, Alif ada jawapan tersendiri.
Meskipun menghargai usaha dan semangat mereka, Alif menekankan bahawa populariti semata-mata tidak cukup untuk menjamin tempat dalam industri hiburan yang sebenar.
Menurut Alif, dia sendiri pernah menerima nasihat daripada tokoh industri, Ahmad Izham Omar, yang menyarankan agar seseorang artis memberi masa sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun untuk membina nama dalam industri dengan tekun.

“Dulu Ahmad Izham pernah cakap dengan saya, kalau dalam tempoh sekitar lima tahun itu tiada apa-apa yang berlaku, itu bermakna industri seni tidak perlukan anda.
“Ayat itu memang tegas, tapi ia realiti. Kita kena terima hakikat, industri hiburan bukan macam larian pecut, ia maraton yang perlukan usaha konsisten,” katanya.
Tambahnya, zaman dahulu tiada kemudahan seperti TikTok atau pelbagai platform digital yang memudahkan individu menjadi ‘popular’ sekelip mata.
Katanya, untuk dikenali dan dipercayai sebagai seorang artis, seseorang itu perlu benar-benar bekerja keras, mencipta jenama dan membina nilai yang membezakan dirinya daripada yang lain.
Tidak cuma itu, menyentuh mengenai lambakan bintang media sosial yang tular tetapi kurang berkualiti, Alif mengakui realiti hari ini terlalu mudah untuk seseorang menjadi terkenal tanpa semestinya berbakat.

“Sekarang semua orang boleh popular. Kadang-kadang tak perlu pun ada bakat, cukup dengan buat satu konten viral, terus jadi influencer.
“Tapi populariti macam itu tidak kekal. Kita cari artis, bukan sekadar penyanyi viral. Kita hendak orang yang ada isi, bakat, ada sumbangan, macam Faizal Tahir, Noh Salleh, atau Siti Nurhaliza.
“Mereka bukan sekadar penyanyi, tapi ikon kepada industri dan negara.Industri ini tak perlukan yang cepat nak popular, tapi yang kekal relevan.
“Bukan soal siapa paling pantas naik, tapi siapa yang mampu bertahan, beri impak dan mampu diangkat dan dikenang dalam sejarah seni negara,”katanya menutup bicara.