KUALA LUMPUR: “Suaranya masih ada, cuma kadangkala mungkin dia terlupa bagaimana mahu mengawalnya,”
Demikian kata guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat, ketika berkongsi pengalaman membimbing penyanyi, Misha Omar, memperbaiki semula vokalnya yang mengalami masalah sebelum ini.
Menurut Syafinaz, vokal merupakan satu instrumen yang unik kerana berbeza daripada alat muzik lain, ia tidak dapat dilihat secara fizikal.
“Kalau piano, kita boleh nampak jari menekan, boleh dibantu. Tapi vokal ini di dalam, kita tak nampak.
“Jadi apabila menyanyi, penyanyi rasa macam suara tak naik, tak boleh pergi tinggi. Sebenarnya ada langkah-langkah tertentu yang perlu dipelajari,” jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Selain itu, Syafinaz turut menekankan kepentingan pembelajaran secara berperingkat termasuk teknik pernafasan, postur badan dan bukaan mulut yang betul.
Dalam sesi latihan, katanya, dia turut membantu penyanyi membuang tabiat lama yang salah dan menggantikannya dengan teknik yang lebih sihat.
Syafinaz yang pernah membimbing penyanyi Misha Omar ketika merakamkan lagu Sampai Bila, mendedahkan, penyanyi itu melalui fasa sukar apabila merasakan nyanyian menjadi amat mencabar.
“Kadang-kadang ia bukan fizikal semata-mata, ia juga boleh jadi mental. Bila otak kata ‘tak boleh’, badan pun akan ikut kata tak boleh.
“Ramai penyanyi datang jumpa saya, nyanyian itu 50 peratus sahaja, selebihnya adalah luahan perasaan dan tekanan jiwa,” katanya.
Sementara itu,Syafinaz turut menyentuh tekanan yang dihadapi artis masa kini apabila persembahan mereka dirakam seawal sesi latihan atau ujian bunyi (sound check) yang belum sempurna.
“Zaman sekarang berbeza. Baru buka mulut, orang dah rakam. Sedangkan waktu itu suara belum ‘warm up’, sistem bunyi kadang-kadang belum seimbang.
“Tapi bila dimuat naik, orang harapkan ia sempurna. Bila tak elok, terus dihukum,” jelasnya.
Berikutan itu, katanya, tugas seorang guru vokal bukan sekadar memperbaiki suara, tetapi juga membantu penyanyi mengawal minda dan emosi agar mampu tampil yakin di atas pentas.
Mengulas kejayaan Misha Omar yang sering menjadi kebanggaan peminat di Indonesia, Syafinaz melahirkan rasa bangga melihat penyanyi Malaysia mampu berdiri sebaris dengan artis berkualiti dari negara jiran.
“Bila tengok peminat menyokong Misha di sana, rasa bangga kerana ini bukti Malaysia juga punya artis yang sangat berkualiti. Saya gembira dan bangga kerana Misha salah seorang daripadanya,” katanya. -UTUSAN