JRTB antara tumpuan Belanjawan 2026 - Utusan Malaysia

JRTB antara tumpuan Belanjawan 2026

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah pada majlis perasmian Jambatan Sultan Muzzaffar Shah di Manong di Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli menjadi antara perhatian untuk Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, permohonan peruntukan ada dibuat untuk pelbagai keperluan kementeriannya termasuklah JRTB.

“Bajet akan datang memang kita mohon. Tidak tahu berapa kita akan dapat. Ada keperluan untuk kita penambahbaikan jalan itu. Bagaimanapun, bukan bererti peruntukan khusus. Ia peruntukan biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Jambatan Sultan Muzzaffar Shah di sini hari ini yang berkenan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

JRTB menjadi perhatian negara susulan kemalangan bas persiaran pada 9 Jun lalu yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Nanta Linggi berkata, setakat ini sebanyak 385 batang lampu solar telah dipasang di lokasi-lokasi berisiko tinggi JRTB, khususnya selekoh berbahaya.

Semasa menyampaikan sembah ucapannya, Menteri itu berkata laluan Gerik–Jeli bersama beberapa jalan persekutuan lain di Perak telah menerima kerja-kerja pembaikan dan naik taraf demi keselamatan dan keselesaan rakyat.

“Data-data kerosakan jalan yang dikumpulkan melalui aplikasi MYJalan turut menjadi asas kukuh bagi kementerian mendapatkan peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Sultan Nazrin merasmikan Jambatan Sultan Muzzaffar Shah sepanjang 300 meter yang menghubungkan Kampung Seberang Manong dan pekan Manong yang sebelum ini dihubungkan menerusi jalan darat sepanjang 36 kilometer atau kemudahan bot tambang untuk menyeberangi Sungai Perak.

Nanta Linggi berkata, jambatan itu dapat merangsang pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan pertanian setempat serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN