JPA teliti cadangan beri peluang penjawat awam muda pegang jawatan penting

JPA teliti cadangan beri peluang penjawat awam muda pegang jawatan penting

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneliti cadangan untuk memberi peluang kepada penjawat awam muda memegang jawatan penting dalam kerajaan serta memperincikan pelaksanaan Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, dasar itu memberi penekanan sama seperti mana dilaksanakan negara jiran iaitu Singapura melalui program kepimpinan perkhidmatan awam yang memberi peluang dan laluan pantas kepada penjawat awam muda.

“Pelaksanaan masih diperincikan lagi dan saya kira JPA mengambil perkara ini dan perlu dipertimbangkan dengan sangat teliti. Sudah tentu mana-mana yang berkaitan merit ini akan diberi tumpuan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada kerajaan akan membuka peluang kepada penjawat awam muda dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) seperti di Singapura di mana kebanyakan jawatan itu digalas mereka yang berusia lingungan 40-an.

Pada masa sama, Dr. Zaliha berkata, dasar itu memberi tumpuan kepada kepada pembangunan bakat, laluan kerjaya yang jelas dan budaya kerja cemerlang, dengan penekanan diberikan kepada dua jenis bakat.

Beliau berkata, dua bakat berpotensi itu ialah pegawai menunjukkan prestasi cemerlang serta berkemampuan melaksanakan tanggungjawab di gred jawatan lebih tinggi.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berhubung pemberian bantuan kepada penjawat awam, Dr. Zaliha bagaimanapun berkata, sebarang cadangan antaranya membabitkan bantuan sementara dan sokongan lain berbentuk logistik perlu mengambil kira kemampuan fiskal kerajaan.

Beliau berkata, selain itu, ia juga mengambil kira soal keperluan keberkesanan dasar dan kesaksamaan antara penjawat awam di seluruh negara.

“Namun saya kira perkara itu masih lagi dibincangkan dengan teliti. Jika ada sebarang perkara baharu ia akan diberitahu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sudah melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada Disember 2024 lalu bagi membantu penjawat awam.

Beliau berkata, ketika peringkat awal kajian SSPA, pelbagai faktor diambil kira, termasuklah peningkatan kos sara hidup, termasuk kadar kos sara hidup penjawat awam yang berkhidmat di Pulau Langkawi.

Katanya, dalam hal ini, penjawat awam yang memilih SSPA menerima kenaikan gaji sebanyak 15 peratus, iaitu lapan peratus  diberikan pada 1 Disember 2024 dan seterusnya tujuh peratus mulai 1 Januari 2026. 

“Malah, kerajaan memberikan Bayaran Insentif Awal berjumlah RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 atau gred 15 di bawah SSPA dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.

“Sementara bayaran RM1,000 diberikan kepada pegawai Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA). Bayaran ini dibuat secara sekali gus pada Februari 2024.

“Sehubungan itu, langkah kenaikan gaji berstruktur melalui SSPA serta pemberian bayaran insentif awal tersebut meningkatkan kuasa beli penjawat awam secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN