JASIN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris atau penjaga sah kepada seorang bayi lelaki berusia sebulan yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta maklumat latar belakang keluarga.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin, Nazurah Mohd. Noh berkata, kanak-kanak yang dikenali sebagai Mohamad Shaqeel Fayyad itu diselamatkan mengikut peruntukan Seksyen 17 (1) (e) Akta Kanak-kanak 2001 setelah hasil siasatan mendapati tiada waris atau penjaga yang sah.
“Kanak-kanak ini dipercayai mempunyai ibu bernama Rusmini, seorang warga Indonesia, namun setakat ini maklumat lanjut mengenai beliau masih belum diperoleh.
“Kami telah memohon perintah di bawah Seksyen 15 (3) akta sama bagi membolehkan usaha mengesan waris dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin atau menghubungi Pelindung Kanak-kanak di talian 06-5291285. – UTUSAN










