‘Jika tiada syurga, neraka memang saya hilang pertimbangan’ - Utusan Malaysia

‘Jika tiada syurga, neraka memang saya hilang pertimbangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi antarabangsa, Harris J tidak berharap muziknya mampu menembusi pasaran luar negara walaupun dunia kini berdepan pelbagai krisis kemanusiaan, termasuk peperangan di Palestin dan Sudan.

Bagaimanapun, kata Harris, dia sedar realitinya, kejahatan yang wujud di dunia ini sering kali mengatasi mesej kebaikan yang ingin dibawa dan disebarkan melalui muzik.

“Saya berharap dan berdoa dan tentunya benar-benar menginginkan bahawa muzik dapat memberi kesan kepada segala hal yang berlaku.

“Tetapi saya rasa muzik semata-mata tidak cukup kuat untuk melawan kejahatan yang berlaku. Bagi saya, itulah sebabnya wujudnya syurga dan neraka,” katanya.

Harris berkata demikian di sesi promosi eksklusif sempena pelancaran album EP terbarunya yang berjudul Revival di Ruma, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Harris percaya bahawa Tuhan itu Maha Adil dan segala kebaikan atau kezaliman yang dilakukan oleh sesiapa sahaja akan dihakimi di akhirat.

“Bagi saya, jika tiada syurga dan neraka, saya akan hilang pertimbangan. Saya juga ada kenalan dan ahli keluarga yang tidak percaya kepada Tuhan, tetapi mereka orang yang sangat baik.

“Saya sering bertanya kepada mereka, bagaimana anda boleh bangun setiap hari mengetahui apa yang berlaku kepada kanak-kanak di dunia ini, dan tidak percaya bahawa ada keadilan?

“Bagaimana anda dapat meneruskan hidup dengan mengetahui bahawa penjenayah atau mereka yang menzalimi orang lain ini tidak akan dihukum?” ujarnya.

Tidak cuma itu, Harris J menambah, keyakinannya terhadap pembalasan Tuhan juga menjadi sumber kepada ketenangan dirinya supaya tidak terlalu kusut memikirkan keributan dunia.

“Jika saya tidak percaya bahawa Tuhan akan menegakkan keadilan, mungkin saya sudah berada di hospital mental sekarang.

“Namun, kerana kita percaya kepada-Nya, kita tahu keadilan pasti tiba.

“Tuhan adalah seadil-adil hakim dan orang jahat akan menerima balasan setimpal. Inilah yang membuatkan saya mampu bertahan,” ujarnya.

Sementara itu, berkongsi mengenai Revival, Harris berkata, album itu diterbitkan oleh Awakening Music dan ia merupakan penanda positif kembalinya dia ke arena muzik selepas beberapa tahun menyepi.

Kata Harris, EP tersebut mengandungi  enam buah lagu dan ia mencerminkan kematangan dirinya sebagai seorang artis dan dari aspek peribadi.

Pada masa yang sama, Harris J, yang terkenal dengan mesej positif dalam setiap lagunya, meluahkan rasa teruja berada di Malaysia dan bertemu peminatnya.

“Saya sangat gembira dapat kembali ke Malaysia dan berkongsi album ini dengan semua peminat saya di sini.

“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya, dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat di sini adalah inspirasi terbesar.

“Saya berharap EP Revival ini dapat diterima baik dan menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka,” katanya.

EP Revival menampilkan gabungan lagu-lagu baharu dan karya ikonik yang disusun semula. la disempurnakan dengan lagu-lagu utama seperti ‘Qalbi Fil Madinah’ yang menampilkan kerjasama dengan Maher Zain, ‘O Allah, ‘Salati’ dan ‘Always Listening’.

Lagu single utama, ‘Hayati’, turut diiringi video muzik sinematik yang diarahkan oleh Idris Kheder, seorang pengarah filem berdarah Perancis-Tunisia, dengan lokasi penggambaran yang menakjubkan di Granada, Sepanyol.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN