PETALING JAYA: Jawatankuasa Teknikal bagi meneliti aspek kerjasama dalam kalangan parti-parti Kerajaan Perpaduan ditubuhkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Ketua Sekretariat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kajian separuh penggal pencapaian Kerajaan Perpaduan yang sedang dilakukan di peringkat Jemaah Menteri perlu dibentangkan kepada Majlis Perundingan Pimpinan.
Katanya, ia bagi melihat perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama di samping menghormati perspektif berbeza parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Mesyuarat turut bersetuju untuk menilai pencapaian-pencapaian Kerajaan Perpaduan dan mengambil perhatian terhadap semua teguran terhadap kerajaan.
“Mesyuarat juga memberikan perhatian tentang usaha-usaha pemantapan ekonomi negara dan program-program untuk kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat turut merakamkan tahniah atas pencapaian Malaysia dan Perdana Menteri yang berjaya mewujudkan perjanjian perdamaian antara Thailand dan Kemboja.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.
Mesyuarat yang bermula pukul 5 petang itu berlangsung hampir dua jam dan tamat pada pukul 6.45 petang.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof.