BUKIT MERTAJAM : “Saya nak beritahu kepada mereka yang cuba menakut-nakutkan saya dengan tuduhan yang dibawa ke mahkamah ini. Jangan bermimpi. Saya tidak akan takut.”
Itu penegasan yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam, hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial yang menimbulkan kegentaran dan keselamatan awam.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, beliau akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya ketika ini.
“Bagi saya, ini bukan soal politik atau soal perkauman. Tapi, ini soal (bagaimana hendak) menjaga maruah Jalur Gemilang.
“Saya percaya, (insiden) ini juga akan menjadi titik tolak kebangkitan rakyat supaya kita lebih sayangkan lambang negara kita,” kata beliau.
Dalam pada itu, peguam, Aizat Azam memberitahu, pertuduhan yang dikenakan ke atas Dr. Muhamad Akmal itu adalah pertuduhan yang tidak kukuh dan mereka akan meneliti daripada semua aspek undang-undang bagi memastikan keadilan dapat dibuktikan.
“Kita (barisan peguam) juga akan membantu Dr. Akmal untuk buktikan apa yang diperjuangkan oleh beliau bukan satu kesalahan,” katanya yang turut berharap agar pelaku yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik itu didakwa dalam masa yang terdekat.-UTUSAN