Kes Akmal Saleh disebut semula 10 November depan

Kes Akmal Saleh disebut semula 10 November depan

DR. Muhamad Akmal Saleh (berdiri, tiga dari kanan) ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 10 November depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes melibatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan sehingga mendatangkan kegusaran awam, bulan lepas.

Tarikh itu ditetapkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit bagi memberi ruang kepada pihak pendakwaan untuk menyerahkan dokumen tambahan kepada mahkamah.

Terdahulu, Dr. Muhamad Akmal tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi ini bersama pasukan peguamnya yang diketuai Datuk Mohd Imran Tamrin.

Pihak pendakwaan pada prosiding itu pula dibarisi oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Nazran Mohd Sham; Lee Jung Keong dan Nor Shakila Dahari.

Pada 22 Ogos lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu didakwa memuat naik satu kenyataan di akaun Facebook ‘Akmal Saleh’ kira-kira pukul 3 petang pada 11 Ogos 2025 yang dilihat serta didengar seorang lelaki di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam di Precint 1 @ Sunway Wellesley di sini.

Dalam video tersebut, beliau didakwa menuntut Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengambil tindakan terhadap individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik dalam tempoh dua hari dan sekiranya tiada pendakwaan dibuat, beliau akan turun untuk ‘mengajar’ individu dirujuknya sebagai ‘apek’ itu mengenai cara memasang bendera dengan betul.

Kenyataan tersebut dianggap boleh menimbulkan kegentaran awam serta mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Justeru, bagi kesalahan itu, beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dr. Muhamad Akmal bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon agar kesnya dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya ketika itu.

Sebelum itu pula iaitu pada 14 Ogos lalu, pemimpin tersebut dilaporkan telah mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, Bersatu dan Pas dalam satu perarakan sejauh 1.4 kilometer (km) bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik di Kepala Batas, dekat sini.

Susulan bantahan berkenaan, DAP mengarahkan sayap Pemudanya iaitu Dapsy di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Dr. Muhamad Akmal.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, laporan polis dibuat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan, iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN