Jalur Gemilang terbalik, insiden tidak patut berlaku menjelang Hari Kebangsaan-KPM - Utusan Malaysia

Jalur Gemilang terbalik, insiden tidak patut berlaku menjelang Hari Kebangsaan-KPM

FADLINA Sidek semasa berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Kepada Murid Tingkatan Enam Semester 1 2025 di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan insiden pemasangan bendera Jalur Gemilang terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua dekat Port Dickson, Negeri Sembilan, kelmarin tidak sepatutnya berlaku menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, KPM sama sekali tidak akan berkompromi dengan perkara tersebut dan sedang menunggu siasatan penuh berhubung kes tersebut.

Menurutnya, sejurus mendapat laporan itu KPM akan mengambil tindakan tegas kepada pihak terlibat.

“Kita sudah banyak kali memberi peringatan mengenai tanggungjawab, sensitiviti dan komitmen mengenai Jalur Gemilang.

“Ketika negara menuju ke Hari Kebangsaan, perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Kepada Murid Tingkatan Enam Semester 1 2025 di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan, SJKC Chung Hua memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat susulan insiden pemasangan bendera Jalur Gemilang secara terbalik.

Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam kenyataan berjanji untuk terus melaksanakan tanggungjawab pendidikan dengan penuh integriti demi maruah negara.

Menurut lembaga itu, pihak sekolah menerima makluman sekitar pukul 5 petang dan mengambil langkah pembetulan dengan segera.

Seorang pekerja sekolah menjalankan tugas pemasangan bendera sebelum tamat waktu bekerja, namun, akibat kecuaian, salah satu bendera telah dipasang.

“Kesilapan ini adalah tidak disengajakan, kami mengakui bahawa ia telah menimbulkan kekeliruan dan kegusaran awam. Kami rasa amat kesal,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN