JAIPk guna AI mantapkan perkhidmatan syariah - Utusan Malaysia

JAIPk guna AI mantapkan perkhidmatan syariah

SAARANI Mohamad bersalam dengan peserta majlis Nadwah Mendepani Cabaran Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Kerangka Syariah Peringkat Kebangsaan di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak memulakan pendedahan awal tentang teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada warga pentadbir agama dalam usaha memantapkan perkhidmatan syariah di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah memulakan usaha itu kepada warga jabatan untuk meneroka potensi AI.

Katanya, langkah memperkukuhkan perkhidmatan agama itu termasuklah membangunkan pembantu maya berteraskan syariah yang mampu menjawab soalan hukum asas 24 jam sehari dengan rujukan sahih.

“Selain itu AI membantu menyaring kandungan media sosial yang menyeleweng sebelum ia menular,” katanya semasa berucap dalam nadwah mendepani cabaran AI dalam kerangka syariah peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Selain itu, beliau melihat AI berpotensi membantu urus tadbir agama seperti pengurusan masjid, analisis kehadiran jemaah serta platform dakwah pintar berdasarkan sahih.

“Di negeri Perak sendiri, langkah memperkasa teknologi digital dalam perkhidmatan agama telah digerakkan secara menyeluruh.

“Melalui kerjasama kerajaan negeri dan JAIPk, Portal Perak Digital 2.0 menyediakan fungsi e-derma dengan kod QR khusus untuk masjid-masjid bagi membolehkan umat Islam menyalurkan sumbangan dengan selamat, telus, dan pada bila-bila masa.

“Usaha ini akan diperluaskan ke lebih banyak masjid dan rumah ibadat di seluruh negeri,” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri gembira dengan pengumuman kerajaan Pusat untuk membina Kompleks Terminal Penggasan Semula (RGT) ketiga negara selepas Sungai Udang, Melaka dan Pengerang, Johor.

Menurutnya, projek itu dijangka bermula pada awal tahun depan dan pengumuman lanjut akan dibuat oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat.

Beliau gembira dengan pemilihan Lumut sebagai lokasi RGT ketiga negara kerana melihat projek itu menjana potensi pelaburan jangka panjang.

“Alhamdulillah, sebab Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tidak melupakan Perak. Syarikat berkaitan itu akan menggunakan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) 2 sebagai pangakalan mereke. Kita ada 1 hingga 7 kawasan LuMIC.

“Perak hendak bangunkan LuMIC ini secara berfasa selama 25 tahun. Jadi barangkali selama-lamanya dia (projek RGT) akan bertampak di situ. Baguslah, mereka melihat kita sebagai tempat yang membolehkan dia melabur,” katanya.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN