Pentadbiran Trump mohon mahkamah gugur saman Harvard

Pentadbiran Trump mohon mahkamah gugur saman Harvard

KAMPUS Universiti Harvard di Boston, Massachusetts.– AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Donald Trump memohon mahkamah persekutuan menggugurkan saman Universiti Harvard berhubung larangan kemasukan pelajar antarabangsa, dengan alasan Presiden Amerika Syarikat (AS) mempunyai kuasa luas untuk mengeluarkan peraturan mengehadkan kemasukan warga asing ke negara itu.

Jabatan Kehakiman dalam dokumen difailkan di Boston semalam menyatakan, Harvard tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mencabar sekatan tersebut.

Pertikaian itu berkait dengan pensijilan Harvard dalam Program Pertukaran dan Pelajar Lawatan (SEVP), syarat wajib bagi mana-mana universiti menerima kemasukan pelajar antarabangsa.

Jun lalu, Trump menandatangani arahan eksekutif yang melarang warga asing memasuki AS untuk belajar di Harvard, dengan menuduh universiti itu gagal melaksanakan disiplin di kampus dan menyebabkan peningkatan mendadak kadar jenayah.

Trump menjadikan Harvard sasaran utama kempen untuk memaksa universiti di negara itu mengubah corak pendidikan tinggi, antaranya dengan menangani dakwaan antisemitisme, menghapuskan kecenderungan politik dalam kalangan tenaga pengajar dan memansuhkan program kepelbagaian.

Harvard memfailkan saman pada Mei lalu, dengan berhujah larangan tersebut melanggar hak proses sewajarnya serta gagal mematuhi peraturan persekutuan.

Jabatan Kehakiman dalam pemfailan terbaharu berkata, pematuhan terhadap SEVP adalah penting bagi memastikan pelajar asing dipantau, dikenakan tindakan disiplin, dan dilaporkan jika perlu.

“Harvard tidak mematuhi kewajiban ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan negara dan keselamatan awam,” menurut dokumen tersebut.

Pentadbiran Trump berbulan-bulan berusaha menghalang kemasukan pelajar antarabangsa ke Harvard, yang menyumbang 27 peratus daripada jumlah pelajar pada tahun akademik lalu.

Universiti Harvard, antara yang tertua dan terkaya di AS dengan dana amanah berjumlah AS$53 bilion (RM250 bilion) sedang berunding dengan kerajaan untuk penyelesaian global, namun belum mencapai kata sepakat.

Beberapa universiti Ivy League lain seperti Universiti Pennsylvania, Columbia dan Brown telah mencapai persetujuan dengan kerajaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

White House meletakkan angka bayaran minimum penyelesaian daripada Harvard sebanyak AS$500 juta (RM2.35 bilion), dan jumlah itu berpotensi meningkat jika universiti tersebut enggan menerima syarat pengawasan kerajaan.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN