KEPALA BATAS : Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kepala Batas sentiasa mengamalkan politik rahmah yang tidak berlandaskan kemarahan selain memilih jalan yang sederhana dalam menyantuni sebarang perbezaan.
Ketuanya, Muhammad Abrar Sadiq Azizi berkata, pada masa yang sama, pihaknya juga mahu tindakan tegas diambil terhadap pelaku dalam insiden yang mencalar maruah iaitu perbuatan buli serta tindakan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik agar ia menjadi pengajaran dan tidak berulang.
“Justeru, kami (Pemuda Amanah Kepala Batas) menyeru semua pihak agar terus berpegang kepada semangat muhibah, adab dan fakta dalam menyampaikan suara rakyat.
“Dalam hal ini, Pemuda Amanah Kepala Batas kekal konsisten untuk mendukung budaya politik sihat, berprinsip serta berlandaskan nilai rahmah demi Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Muhammad Abrar Sadiq memberitahu, pihaknya menyambut dengan keterbukaan serta penuh sifat demokrasi terhadap dua perhimpunan besar yang berlangsung baru-baru ini.
Katanya, perhimpunan itu ialah Solidariti Jalur Gemilang anjuran Pemuda UMNO yang diketuai oleh Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh serta himpunan Justice 4 Zara oleh mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Bagi kami, sebarang ekspresi cinta kepada negara atau solidariti rakyat harus diraikan dalam kerangka demokrasi yang matang.
“Namun begitu, adalah lebih molek sekiranya himpunan-himpunan ini tidak ditunggang oleh sentimen sempit mahupun kepentingan politik pihak yang tertentu,” ujar beliau.-UTUSAN