Isteri terkejut rumah terbakar disyaki dibakar suami - Utusan Malaysia

Isteri terkejut rumah terbakar disyaki dibakar suami

KAMARIAH Mat Daud menunjukkan rumahnya yang terbakar dalam kejadian di Kampung Langkap Baru, Setiu, Terengganu. - UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seorang warga emas tidak menyangka masalah salah faham dengan suaminya yang berlarutan sejak bulan lalu dikatakan menjadi punca kebakaran rumahnya di Kampung Langkap Baru, di sini, hari ini.

Kamariah Mat Daud, 65, berkata, dia hanya mengetahui rumahnya musnah dijilat api kira-kira pukul 1.15 pagi ini selepas anak bongsunya mengejutkannya dan ahli keluarga lain.

Katanya, tidak menyangka suaminya disyaki berbuat demikian setelah mereka hidup bersama lebih 25 tahun meskipun kadangkala lelaki itu berulang-alik dari rumahnya di Kuala Terengganu.

“Ketika kejadian saya tinggal di rumah salah seorang anak di sebelah rumah manakala hanya anak bongsu  duduk dikediaman kami.

“Menurut anak bongsu saya, Muhammad Hakim Mohd Nawi, 26, ketika kejadian dia melihat kelibat suami saya yang berusia 79 tahun cuba melarikan diri selepas ruang tamu rumah terbakar,” katanya ketika ditemui di Kampung Langkap Baru, di sini hari ini.

Katanya yang kini dalam proses pemulihan daripada penyakit strok, meskipun masih terkejut dengan kejadian itu, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku walaupun banyak kemusnahan harta.

Menurutnya, jika benar kebakaran itu disebabkan oleh suaminya itu, dia menyerahkan sepenuhnya tindakan lanjut kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Muhammad Hakim berkata, dia menyedari kebakaran itu berlaku sebaik sahaja keluar bilik untuk mengunci pintu utama rumah sebelum melihat api sedang marak di ruang tamu.

“Ketika itu, saya sempat melihat kelibat ayah tiri sedang cuba melarikan diri namun saya sempat menjerit kepadanya.

“Bagaimanapun saya tidak sempat mengejarnya kerana api sedang marak dan bertindak mengetuk pintu rumah abang di sebelah untuk membantu memadam kebakaran sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.

Katanya, dua anak saudaranya bersama seorang lagi saudara mereka cuba mengejarnya bapa tirinya itu daripada melarikan diri menggunakan kereta.

Menurutnya lagi, selepas insiden itu, ada beberapa penduduk kampung melihat kereta bapa tirinya itu diparkir tidak jauh dari rumah mereka.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu Mohd Sarizan Mohammad Sapawi berkata, pasukan bomba dapat mengawal dan memadam  sepenuhnya kebakaran terbabit dalam masa kira-kira 30 minit.

“Bagaimanapun punca sebenar kebakaran itu masih tidak dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN