Bunuh, bakar kekasih hamil: Tempoh pemerhatian mental tertuduh dilanjutkan - Utusan Malaysia

Bunuh, bakar kekasih hamil: Tempoh pemerhatian mental tertuduh dilanjutkan

Bakar kekasih
MOHAMAD Nor Tamrin ditemui pemberita selepas menghadiri prosiding di Mahkamah Tinggi Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Mahkamah Tinggi di sini, membenarkan lanjutan masa kepada Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak bagi melakukan pemerhatian kesihatan mental seorang pemuda yang didakwa membunuh kekasih hamilnya tahun lalu.

Timbalan Pendaftar, Mohd. Hirman Ab. Raub berkata, mahkamah dimaklumkan laporan psikiatri tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 21, belum lagi disediakan hospital tersebut.

“Laporan psikiatri itu belum tersedia dan mahkamah memberi tempoh lanjutan sehingga 13 Ogos depan. Tarikh perbicaraan bergantung kepada laporan yang akan diserahkan nanti,” katanya.

Justeru, sebutan bagi keputusan laporan psikiatri tertuduh ditetapkan pada 14 Ogos depan.

Pada prosiding sebutan kes itu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad turut menyerahkan sebahagian laporan dan dokumen kes berkenaan kepada peguam Muhammad Nor Tamrin.

Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati Muhammad Fakrul tidak menghadiri prosiding itu kerana masih menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.

Pada 15 Mei lalu, mahkamah itu membenarkan permohonan tertuduh dirujuk kepada pakar psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.

Muhammad Fakrul berdepan pertuduhan melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun yang dilakukan dekat Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di Sabak Bernam kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi 23 Mei tahun lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Malah, sebelum ini, tertuduh dilaporkan bersikap ibarat dirasuk syaitan apabila bertindak kejam membunuh dan membakar teman wanitanya sebanyak dua kali selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa.

Selain memukul dan menoreh perut pelayan restoran itu, suspek dipercayai turut sempat membeli minyak petrol di stesen minyak untuk membakar mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN