Islam asas kemerdekaan hakiki - Abdul Hadi

Islam asas kemerdekaan hakiki – Abdul Hadi

Abdul Hadi Awang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Islam datang membawa erti kemerdekaan sebenar iaitu membebaskan manusia daripada tunduk kepada hawa nafsu dan ciptaan sesama makhluk untuk kembali menjadi hamba Allah yang Esa.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, inilah fitrah yang sebenar dan kebebasan yang hakiki yang perlu difahami generasi hari ini.

Katanya, walaupun laungan Merdeka telah bergema sejak lebih enam dekad lalu, hakikatnya penjajahan belum benar-benar tamat kerana pemikiran, pendidikan dan acuan yang diwariskan penjajah masih membelenggu anak bangsa.

“Kini kita berdepan pula dengan bentuk penjajahan baharu daripada kalangan bangsa sendiri yang mewarisi fahaman penjajah dan meneruskan legasi memperhambakan rakyat dengan cara yang lebih halus.

“Kemerdekaan ini hanya akan sempurna apabila kita benar-benar merdeka dalam seluruh aspek kehidupan termasuk politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan pemikiran.

“Acuan penjajahan mesti ditinggalkan dan diganti dengan acuan Islam yang adil, sejahtera serta menyelamatkan semua,” katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan 2025 hari ini.

Abdul Hadi berkata, sejarah panjang jatuh bangunnya bangsa membuktikan betapa pentingnya umat Islam kembali kepada asas perjuangan sebenar.

“Sejak jatuhnya Melaka ke tangan Portugis, kemudian Belanda dan Inggeris, umat Islam kehilangan kuasa memerintah sendiri dan digantikan dengan sistem yang memperhambakan manusia sesama manusia,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Hadi turut mengajak seluruh rakyat untuk menegakkan kemerdekaan bersama Islam.

“Hanya dengan Islam bangsa Melayu akan selamat dan seluruh rakyat berbilang kaum dalam negara ini akan turut selamat, ibarat berada di dalam satu bahtera yang sama berlayar menuju kesejahteraan bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN