PUTRAJAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan melindungi apa-apa fakta siasatan berhubung insiden kematian membabitkan pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), arwah Syamsul Haris Shamsudin baru-baru ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menjelaskan, siasatan mengenai insiden itu telah lengkap termasuk bedah siasat terhadap jenazah.
“Kalau pihak keluarga memohon untuk melakukan seterusnya (apa-apa tindakan susulan), ia terserah pada pihak keluarga. Kami tidak ada apa-apa yang kami ingin lindungi.
“Kami ingin jelaskan bahawa insiden itu tiada kaitan dengan kes buli, ‘raging’ dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemasyhuran ‘Hall of Fame’ kepada personaliti pertama Maktab Ketahanan Nasional di Maktab Ketahanan Nasional Putrajaya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas hasil siasatan jawatankuasa siasatan kematian pegawai kadet PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meninggal dunia di Pusat Latihan Darat (PULADA), Skudai, pada 28 Julai lalu.
Sebelum ini, ibu arwah Syamsul, Ummu Haiman Bee Daulatgun mahu bedah siasat kedua dijalankan ke atas jenazah anaknya itu selain mahu siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian.
Katanya, sejak awal tahun ini, ATM telah menekankan kepada semua perkhidmatan bahawa tiada lagi amalan buli dalam pasukan keselamatan itu.
Mohd Nizam berkata, pihaknya sedar bahawa penugasan seorang anggota tentera berbeza dengan orang awam lain, justeru, latihan-latihan yang dikenakan hanya bertujuan membentuk karakter.
“Latihan dan laluan dalam ATM adalah lebih sukar dan lebih jerih daripada mereka yang di luar sana,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, siasatan ATM melalui jawatankuasa siasatan itu mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan terhadap arwah.
Menurutnya, hasil siasatan jawatankuasa siasatan kematian pegawai kadet PALAPES itu mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan. – UTUSAN