Insiden bom tidak gugat rakyat Malaysia terus serbu Thailand

Insiden bom tidak gugat rakyat Malaysia terus kunjungi Thailand

KENDERAAN pelancong Malaysia beratur hingga di luar pagar kompleks Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, Kelantan untuk masuk ke Thailand. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kejadian letupan bom di Selatan Thailand tidak mendatangkan kesan kepada rakyat Malaysia yang tetap mengunjungi negara  Gajah Putih itu  sebagai destinasi percutian.

Tinjauan Utusan Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di sini semalam mendapati,  pintu sempadan itu dibanjiri kenderaan rakyat Malaysia.

Tinjauan juga mendapati, berlaku kesesakan lalu lintas hampir  700 meter apabila kenderaan beratur menunggu giliran untuk  menaiki  feri menyeberangi Sungai Golok dari jeti Pangkalan Kubor ke Tak Bai.

Seorang pelancong, Ghazali Othman, 45, berkata, walaupun berlaku letupan bom di Selatan Thailand iaitu di Tak Bai  kelmarin, baginya tidak membahayakan nyawa pelancong.

“Memang kerap berlaku serangan bom di Thailand tetapi serangan itu bukan menyasarkan kepada   orang awam, yang biasa masuk Thailand pasti  tahu situasi keselamatan di sana,” katanya ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi pelancong, Norhayati Mohd Salleh, 45, berkata, dia bersama anak-anak masuk ke Thailand hanya untuk makan-makan di bandar Narathiwat.

“Kami akan melalui jalan yang berlaku letupan itu. Saya yakin ia selamat kerana ini bukan kali pertama berlaku serangan letupan bom di Thailand,” katanya.

Menurutnya, dia tidak bermalam di Thailand kerana  melancong untuk makan-makan sahaja.

“Saya pulang Malaysia hari sama, saya yakin ia selamat sepanjang berada di sana nanti,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung Pengkalan Kubor, Hidayah Mat Ghani, 35, berkata, kesesakan hingga di luar pagar ICQS Pengkalan Kubor adalah situasi biasa setiap hari Jumaat.

Katanya, pelancong menunggu di pintu pagar ini pada pukul 7 pagi lagi kerana mahu menjadi orang terawal dapat menaiki feri.

“Walau pun serangan letupan bom itu berlaku kelmarin tetapi pelancong Malaysia tetap masuk ke Thailand seperti tiada apa-apa yang berlaku di sana,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan tiga anggota Pasukan Pertahanan Sukarelawan cedera selepas sebuah kereta yang dipasang bom meletup berhampiran pusat pemeriksaan di Kampung Khok Mafueang, Mukim Salamai, Tak Bai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×