Insentif sambung belajar

Insentif sambung belajar

ANWAR Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam. FOTO - FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penjawat awam yang mengambil inisiatif melanjutkan pengajian atas perbelanjaan sendiri bagi meningkatkan tahap profesionalisme dan kecemerlangan akademik masing-masing akan menerima insentif kewangan di bawah Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA).

Kumpulan Pengurusan, Profesional dan Pelaksana yang memegang ijazah doktor falsafah akan menerima RM1,250, pemegang ijazah sarjana (RM1,000); ijazah sarjana muda (RM750) dan diploma atau setaraf (RM500).

Setakat ini, seramai 91,672 penjawat awam layak menerima insentif kewangan yang bersifat sekali dalam sepanjang perkhid­matan itu membabitkan peruntukan keseluruhan melebihi RM75 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga bersetuju memperluaskan pemberian insentif berasaskan prestasi (BIPs) kepada anggota lain-lain pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, insentif itu terpakai bagi anggota berpangkat Sarjan Setaraf (gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (gred Z5).

“Kerajaan sedar bahawa pem­berian BIPs yang diberikan ketika ini terhad sehingga Pegawai Waran II Setaraf (Gred Z6) dan Pegawai Waran I Setaraf (Gred Z7) sahaja, membabitkan mereka yang memenuhi tempoh perkhidmatan enam tahun di gred semasa.

“Jadi kita setuju perluaskan insentif ini kepada anggota lain-lain pangkat ATM iaitu Sarjan Setaraf (gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (gred Z5).

“Tempoh perkhidmatan yang melayakkan insentif BIPs bagi anggota LLP ATM bagi Gred Z4 hingga Z7 dipendekkan dari enam tahun kepada empat tahun.

“Insentif ini akan memberi faedah kepada 3,789 anggota dengan implikasi sebanyak RM6.47 juta setahun dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Anwar berkata, kerajaan juga akan memperluaskan tujuh Kelayakan Masuk Pelbagai bagi skim perkhidmatan Askar-Lasykar Angkatan Tetap ATM Gred Z1 (Tugas Khusus) membabitkan Kor Perubatan, Kor Agama dan Kor Kejuruteraan.

Selain itu, katanya, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) juga akan menerima dana RM3 juta bagi memperkasa institut itu sebagai pusat rujukan kecemerlangan perkhidmatan awam di rantau Asia dan global.

“Dana itu akan digunakan bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan pegawai awam dalam penyampaian perkhidmatan khususnya dalam bidang tujahan baharu se­perti kecerdasan buatan (AI) dan block-chain,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan program Akreditasi Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman Terdahulu bagi Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q) bagi tahun 2026.

“Seperti sedia maklum, dalam Belanjawan 2025 telah diluluskan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menanggung kos pengajian melalui pemberian bantuan yuran pengajian bagi Program APEL.Q sehingga 50 peratus atau maksimum RM15,000 bergantung kepada mana yang terendah.

“Justeru, saya dengan sukacitanya bersetuju supaya inisiatif APEL.Q @ INTAN ini diteruskan untuk tahun 2026 dengan jumlah peruntukan RM1.5 juta,” katanya.

Seterusnya, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju dengan cadangan pemansuhan syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi kemudahan cuti haji penjawat awam.

“Ramai yang mengeluh melalui Tabung Haji bahawa nak pergi haji dia kena sahkan dalam perkhidmatan. Jadi syarat pengesahan dalam perkhidmatan itu dimansuhkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN