GEORGE TOWN: Kerajaan negeri meneruskan komitmennya terhadap kebajikan rakyat menerusi pembayaran fasa kedua Program i-Sejahtera tahun ini yang dikreditkan secara pemindahan dana elektronik (EFT) bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, seramai 9,405 penerima akan menerima manfaat berjumlah RM1,721,300 menerusi fasa kedua program itu.
“Pembayaran Fasa 2/2025 hanya akan dibuat kepada pemohon baharu yang mendaftar sebelum 30 Jun setiap tahun. Permohonan selepas tarikh itu akan diproses untuk Fasa 1/2026,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pecahan bayaran dan jumlah penerima untuk Fasa 2/2025 itu pula terdiri daripada penghargaan warga emas dengan 7,187 penerima berjumlah RM1,437,400.
“Bantuan Ibu Tunggal merangkumi 317 penerima berjumlah RM31,700; penghargaan suri emas kepada 1,280 penerima berjumlah RM128,000 dan bantuan OKU kepada 621 penerima pula berjumlah RM124,200,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Siew Khim berkata, secara keseluruhannya, jumlah bantuan yang telah disalurkan oleh kerajaan negeri bagi Fasa 1 dan Fasa 2 dari Januari hingga Julai 2025 mencecah RM53.83 juta, membabitkan 285,816 penerima pelbagai kategori.
“Antara kategori tersebut termasuk penghargaan warga emas kepada 209,938 penerima berjumlah RM41,987,600, bantuan ibu tunggal kepada 10,644 penerima berjumlah RM1,064,400.
“Kategori lain ialah penghargaan suri emas kepada 44,231 penerima berjumlah RM4,423,100, bantuan OKU kepada 15,608 penerima dengan jumlah RM3,121,600; anak emas (one-off) kepada 2,700 penerima berjumlah RM540,000 dan sumbangan khairat kematian (one-off) kepada 2,695 penerima berjumlah RM2,695,000,” katanya.
Siew Khim menggesa semua pemohon agar segera mengemas kini maklumat akaun bank masing-masing bagi memastikan proses pembayaran Fasa 1/2026 berjalan lancar.
Katanya, maklumat lanjut berkenaan program i-Sejahtera boleh diperoleh dengan menghubungi Unit KEMARA di talian 04-650 5699 / 5700, atau hadir ke pejabat i-Sejahtera di Tingkat 44, Komtar, pada hari bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Orang awam juga boleh mendaftar secara dalam talian di laman web rasmi: https://isejahtera.penang.gov.my.-UTUSAN










