PETALING JAYA: Penganjuran ‘Himpunan Maruah Tanah Airku’ bagi membantah pemilik premis yang mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik dibatalkan.
Sekretariat Pemuda UMNO dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Pihak Pemuda UMNO Malaysia memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak, khususnya rakan-rakan media,” katanya hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh menangguhkan ‘kelas memasang bendera’ terhadap individu yang mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik di Pulau Pinang selepas polis menahan suspek.
Muhammad Akmal berkata, tindakan tersebut diambil bagi memberi ruang kepada proses pendakwaan terhadap individu berkenaan. – UTUSAN










