PETALING JAYA: Semua pihak diingatkan agar menghentikan tindakan memuat naik dan berkongsi maklumat tidak sahih termasuk pendedahan berkaitan siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya mengesan wujudnya penyebaran maklumat serta gambar kanak-kanak dikaitkan dengan kes pelajar terbabit yang dimuat naik dan dikongsi oleh pihak tertentu di media sosial.
Tegasnya, maklumat yang dikongsi adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam.
“Tindakan sebegini bukan sahaja boleh menjejaskan perjalanan siasatan yang sedang berlangsung malah berupaya mengganggu keadilan kepada semua pihak.
“Untuk makluman, segala proses siasatan termasuk isu bedah siasat dijalankan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan untuk menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang tidak sahih, termasuk pendedahan maklumat berkaitan siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan undang-undang.
“Antaranya Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu larangan mendedahkan maklumat identiti, alamat, nama sekolah, dan gambar kanak-kanak yang terlibat serta seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana kesalahan berkaitan pendedahan maklumat.
“Tindakan itu juga adalah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.
Beliau menasihatkan bahawa pematuhan kepada undang-undang adalah asas kepada keamanan dan kesejahteraan negara.
“Sehubungan itu, sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan sedia ada.
“PDRM kekal komited untuk memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara demi kepentingan bersama,” katanya.
Allahyarham Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama pada pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital oleh pihak sekolah.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan.-UTUSAN