IPOH: Perak Bison akan bertemu Kelantan Warriors dalam perlawanan akhir Liga Sepak Takraw (STL) GP Perak di Stadium Indera Mulia di sini malam esok.
Perak layak ke final selepas menundukkan Kuala Lumpur Thunder 2-0 manakala Kelantan Warriors menumpaskan Johor Tigris 2-1.
Perlawanan akhir esok merupakan sejarah buat kedua-dua pasukan kerana pertama kali bertemu pada final.
Dalam perlawanan separuh hari ini, Perak yang mendapat sokongan padu penyokong, beraksi cemerlang.
Kecuali mempamer aksi goyah dipenghujung set kedua apabila membenarkan Kuala Lumpur merapatkan jurang sebelum menang 15-14, trio tuan rumah S Kritsada, Aizat Nordin dan Aidil Aiman beraksi cemerlang untuk menafikan Impian KL Thunder.
Sementara itu Kelantan Warriors bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengecewakan Johor Tigris dalam baki dua set.
Kejayaan pasukan Kelantan dibantu keberkesanan tekong Aizat Amin dan rejaman apit kanan Pichet Pansan.
Mereka beraksi hebat terutama di set kedua untuk menang 15-11 dan set ketiga 15-6
Terdahulu, hasrat Bomba Fighters dan Melaka Titans menamat cabaran pada kedudukan baik tidak kesampaian apabila tumpas kepada lawan masing-masing di pusingan klasifikasi di sini hari ini.
Bomba Fighters yang berharap melakar kejayaan kedua sebaliknya tumpas 1 – 2 kepada Penang Black Panthers manakala Titans kalah 2-0 kepada ATM Defenders. – UTUSAN