KUALA LUMPUR: UMNO perlu keluar daripada kebiasaan dan zon selesa serta berani mencipta kelainan bagi memastikan parti itu terus relevan untuk tempoh 20 tahun akan datang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tahun ini merupakan tempoh yang amat mencabar dan UMNO tidak boleh terus dipersepsikan sebagai parti lama yang lesu serta kehilangan arah.
Menurutnya, pada usia hampir 80 tahun, sesebuah organisasi termasuk parti politik tidak terlepas daripada pelbagai cabaran dan kelemahan sekiranya gagal melakukan perubahan.
“Usaha keluar daripada kebiasaan bermakna UMNO perlu mengambil langkah luar biasa. Perubahan ini tidak boleh digerakkan oleh seorang individu sahaja, sebaliknya memerlukan seluruh organisasi meninggalkan nilai dan pendekatan tradisional yang sudah tidak relevan.
“UMNO pernah menjadi parti dominan yang berjaya menyatukan pelbagai organisasi Melayu walaupun berbeza latar belakang dan agama.
“Generasi baharu pula tidak lagi mahu hanya mendengar sejarah perjuangan, sebaliknya ingin mengetahui hala tuju parti dan negara bagi tempoh 20 tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Pertama Sekolah Patriotik UMNO (SPU) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, tidak mustahil dalam tempoh 20 tahun akan datang, produk daripada SPU mampu melahirkan bakal Perdana Menteri, dengan syarat memiliki nilai intelektual, emosi dan spiritual yang seimbang.
“Penyusunan SPU bukan sekadar melalui modul semata-mata, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada gerakan yang merangkumi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen dan nasional.
“Ia sebagai persiapan untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang mungkin lebih singkat daripada jangkaan dan UMNO perlu bersedia sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, persepsi negatif terhadap UMNO perlu ditangani secara serius kerana ia dibentuk melalui propaganda dan teori domino yang boleh menyebabkan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap parti.
“UMNO perlu berani memecahkan kepompong lama dan keluar daripada budaya saling menyalahkan, sebaliknya memikul kejayaan dan kegagalan parti secara kolektif, bukan diletakkan kepada seorang individu semata-mata.
“SPU perlu melahirkan pemikir baharu yang mampu menganalisis dan memberi pandangan kepada kepimpinan tertinggi parti, termasuk menilai semula jenama UMNO dan BN agar kekal relevan dalam kitaran hayat politik,” katanya.










