PETALING JAYA: Pelakon, Anzalna Nasir, mengakui pernah menjalani gaya hidup mewah dan berbelanja lebih RM100,000 untuk membeli sebuah beg tangan berjenama.
Namun begitu, Anzalna atau Nur Anzalna Md Nasir, 37, mula mengawal perbelanjaan setelah menyedari wang sebanyak itu boleh digunakan untuk membantu individu yang dalam kesusahan.
“Kalau dulu, saya dengan mudah boleh berbelanja lebih daripada RM100,000 untuk beli barangan mewah. Sekarang pun saya masih beli apa yang saya suka, cuma tidaklah berlebihan macam dulu.
“Sebab sekarang saya mula sedar, harga sebuah beg tangan berjenama boleh beri makan kepada ramai keluarga, membantu ibu bapa yang sedang susah, atau tolong seseorang untuk bangkit semula dalam hidup,” tulisnya menerusi perkongsian di Thread.
Dalam pada itu, ibu kepada dua orang cahaya mata ini juga mengakui apabila usia semakin meningkat, hatinya sudah tidak lagi terikat dengan perkara materialistik sebaliknya mahu mendekatkan diri mencari reda Allah.
“Bila umur makin meningkat, hati saya makin ingin dekat dengan Allah.
“Hidup terasa lebih bermakna apabila saya gunakannya untuk berbuat baik, memberi, dan mencari reda Allah.
“Saya harap akan kekal begini selamanya. Doakan saya,” katanya.
Perkongsian menyentuh hati pelakon Gemersik Kalbu itu mencuri perhatian ramai yang rata-ratanya turut mengalami perubahan yang dilalui pelakon itu.
“Betul, bila dah sampai umur tertentu barangan mewah ini tak beri kita kegembiraan lagi. Kita boleh beli lagi, tapi benda itu tak beri kita perasaan tenang,” tulis satu peminat.
“Antara tanda Allah mahukan kebaikan kepada seseorang hamba, dia akan kurangkan rasa cinta hamba itu kepada dunia, semoga kita tergolong dalam orang-orang yang kejar cinta Allah,” tulis satu komen.
“Saya doakan awak akan selalu berasa cukup dengan apa yang awak ada,” kata komen yang lain. -UTUSAN










