MELAKA: Hanya 10 peratus atau 657 daripada lebih 6,000 masjid di seluruh negara telah menubuhkan koperasi kariah.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Azam Sulaiman berkata, angka itu amat rendah walaupun telah dimudah cara terutama daripada aspek proses pendaftaran.
Katanya, pembabitan kariah masjid untuk menubuhkan koperasi amat diperlukan bagi memperkasa pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Beliau berkata, Melaka merupakan salah satu negeri paling aktif menubuhkan koperasi kariah dengan sebanyak 64 koperasi didaftarkan setakat 30 Jun lalu.
“Beberapa negeri lain memang ada koperasi cuma sesetengahnya mungkin masih memerlukan promosi ataupun usaha yang lebih gigih untuk kita memperkenalkan gerakan koperasi daripada masjid-masjid hingga kariah masjid.
“Macam di Pahang kita tengok penubuhan koperasi begitu aktif kerana ini adalah sokongan kuat daripada kerajaan negeri dan juga pihak Istana Pahang,” katanya selepas Majlis Pelancaran Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Negeri Melaka 2025 (KOKMA’25) di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, hari ini.
Pelancaran disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam. – UTUSAN










