KUALA LUMPUR: Bagi mempromosi dan mengedar filem Angkat, penerbit, Iskander Azizuddin menghantar e-mel kolaborasi kepada semua pawagam utama di Malaysia namun hanya menerima balasan daripada pihak TGV Cinemas (TGV).
Jelas Iskander, kerana bajet yang kecil, produksinya perlu bijak merancang strategi termasuk memberi cadangan slot tayangan serta tawaran menjual tiket lebih awal daripada tarikh tayangan dengan harga RM10.
“Memandangkan bajet terhad, jadi kami ambil keputusan untuk edarkan filem ini sendiri. Kami hantar e-mel cadangan kepada tujuh pawagam. Dalam e-mel itu kami berikan cadangan di mana kami tidak perlukan banyak lokasi tayangan, cukup hanya 30 lokasi sahaja.
“Selain itu tidak perlu setiap hari ada tayangan pun tidak mengapa, cukuplah setakat hari Khamis, Jumaat, Sabu, Ahad untuk dua minggu pertama tayangan. Tapi cadangan itu tidak diendahkan kecuali pihak TGV Cinemas.
“Pihak TGV satu-satunya yang balas e-mel kami, ajak berbincang dan kata mereka mahu sokong filem ini. Itulah terjadinya kolaborasi harga tiket RM10 jika dibeli hari ini sehingga 13 Ogos,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Tambah Iskander lagi, sejak kempen tonton filem Angkat dibuat di medial sosial, ramai yang sudah membuat tempahan tiket lebih awal termasuklah daripada rakan pengarah, rumah penerbitan dan peminat filem di Malaysia.
“Terharu juga sebab ramai kawan-kawan yang beri sokongan. Setakat yang saya maklum, kawan pengarah ramai datang sokong antaranya Razaisyam Rashid dan ada juga produksi macam Kuman Pictures yang tempah satu panggung terus,” jelasnya.
Bercerita lanjut mengenai filem yang menelan belanja RM700,000 ini, Angkat diilhamkan daripada kisah benar yang dilalui Iskander dan adiknya yang juga pengarah filem ini, Feisal Azizuddin semasa kematian nenek mereka beberapa tahun lalu.
“Saya dapat idea buat filem ini ketika arwah nenek meninggal dunia. Waktu itu, kami dalam perjalanan nak kebumikan arwah dan jalan raya cukup sesak.
“Terfikir pada waktu itu, apa jadi kalau van jenazah rosak ketika dalam perjalanan. Saya gunakan apa yang terlintas dalam fikiran untuk menghilangkan rasa sedih.
“Saya ingat lagi ketika itu berlaku, saya cuba untuk jual insurans nyawa kepada adik-beradik. Tapi, mereka tak ambil pelan saya,” katanya ketawa.
Filem Angkat terbitan Feisk Productions menceritakan tiga beradik yang perlu melalui pelbagai cabaran sepanjang pulang ke kampung untuk menguruskan jenazah bapa mereka. Turut sama menjayakan filem komedi gelap ini ialah Firdaus Karim, Sky Iskandar, Sara Mack Lubis dan Syazani Zikry.
Angkat mula ditayangkan di pawagam terpilih seluruh negara bermula 14 Ogos ini. -UTUSAN