Hakisan jejas tarikan Pantai Kota Kulit Kerang

Hakisan jejas tarikan Pantai Kota Kulit Kerang

KEADAAN Pantai Kota Kulit Kerang di Beruas, Perak yang mengalami hakisan dan kerosakan akibat air pasang besar.–UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Pantai Kota Kulit Kerang di sini yang semakin popular dalam kalangan pelancong kini terancam hakisan berikutan kejadian air pasang besar di kawasan itu.

Tinjauan di kawasan pantai itu mendapati kemudahan asas dan rekreasi seperti meja dan bangku telah patah dan rosak, selain pokok kayu bakau dan batu tebing mengelongsor ke dalam laut.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kota Kulit Kerang, Zafar Ridzuan Mohamad berkata, kemudahan disediakan untuk pengunjung di pantai itu mengalami kerosakan berikutan beberapa kejadian air pasang besar yang berlaku sejak awal tahun ini.

Menurutnya, keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan kedatangan pengunjung ke pantai itu yang semakin dikenali ramai kerana pemandangan matahari terbenam yang cantik ketika senja menjelang.

“Pantai ini semakin dikenali dan semakin pengunjung yang datang tetapi sejak kejadian air pasang besar merosakkan kemudahan untuk pengunjung, kawasan ini semakin kurang pengunjung.

“Kami berharap pihak berkenaan memperbaiki kerosakan kemudahan yang terdapat di pantai ini supaya kawasan ini kembali menarik pelancong,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penduduk kampung tersebut, Abdul Majid Isa, 39, berkata, Pantai Kota Kulit Kerang menjadi lokasi penduduk kampung itu beriadah bersama keluarga dan sejak kebelakangan ini kawasan itu turut menarik kehadiran orang luar.

Katanya, berikutan pertambahan pengunjung, ia membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat yang membuka gerai jualan makanan.

“Sebelum berlaku air pasang besar, pantai ini memang meriah, ramai yang datang di sini sehinggakan tidak cukup tempat letak kenderaan terutama semasa cuti umum dan hujung minggu.

“Namun air pasang besar merosakan kemudahan yang disediakan di sini malah ada juga pokok yang tumbang akibat hakisan. Sejak itu pengunjung semakin kurang dan tiada lagi aktiviti perniagaan di sini. Kami berharap pantai ini dibaik pulih supaya pelancong kembali ke sini,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan pantai tersebut yang terletak di Pengkalan Baharu, Pantai Remis dekat sini, berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baharu, Azman Noh berharap kawasan itu menjadi pantai destinasi pelancongan ketiga di daerah Manjung selepas Teluk Batik dan Teluk Senangin selain Pulau Pangkor.

Menurutnya, ini kerana keistimewaan di Pantai Kota Kulit Kerang adalah dapat melihat pemandangan matahari terbenam yang cantik ketika waktu senja.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN