BALIK PULAU : Guru lelaki yang bertindak mengelar leher isterinya dengan sebilah pisau di bilik tidur mereka di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini Rabu lalu, direman selama enam hari.
Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 4 September itu dikeluarkan oleh Majistret Zaireen Zainudin di Mahkamah Balik Pulau hari ini.
Suspek sebelum itu tiba ke Kompleks Mahkamah Balik Pulau kira-kira pukul 9.13 pagi dengan memakai baju T bercorak biru, merah dan hitam serta memakai seluar trek berwarna gelap.
Dia kelihatan sugul dengan keadaan tangan kiri yang berbalut selain terdapat bekas jahitan pada bahagian lehernya.
Dalam prosiding reman hari ini, suspek turut diwakili oleh dua orang peguam iaitu Muhaimin Hashim dan Yazid Khairul Azman.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi Rabu lalu, suspek bertindak mengelar leher isterinya yang juga seorang guru sebelum mencederakan dirinya sendiri dengan menggunakan sebilah pisau.
Kejadian itu disedari oleh ibu mangsa yang terdengar jeritan anak perempuannya dari tingkat atas rumah dua tingkat tersebut sebelum dia cuba menyelamatkan mangsa dengan menarik wanita itu keluar dari situ.
Berdasarkan siasatan awal polis, kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah hutang bank serta ansuran pembelian barang melalui platform e-dagang yang dihadapi oleh suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh.-UTUSAN