Guna alasan terlepas pandang elak disaman

Pemilik kenderaan mewah guna alasan terlepas pandang elak disaman

JAZMANIE Shafawi memasang Jalur Gemilang di sebuah van semasa Program Semarak Merdeka 2025 di Stesen Penguatkuasa JPJ Labok, Machang, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Pemilik kenderaan mewah yang tiada cukai jalan menjadikan alasan ‘terlepas pandang’ untuk mengelak disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang Op Luxury.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, mereka sepatutnya perlu ada kesedaran termasuk memastikan Lesen Kenderaan Motor (LKM) masing-masing sentiasa dikemas kini.

Katanya, walaupun langkah pendigitalan tidak lagi memerlukan pemilik kenderaan mempamerkan LKM secara fizikal, pemilik kenderaan sepatutnya mempunyai kesedaran untuk sentiasa mengemas kini cukai jalan masing-masing.

“Pelaksanaan operasi ini sepatutnya mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemilik kenderaan mewah agar sentiasa peka dengan keperluan mematuhi peraturan ditetapkan termasuk cukai jalan,” katanya semasa Program Semarak Merdeka 2025 di Stesen Penguatkuasa JPJ Labok, Machang, di sini hari ini.

Jazmanie berkata, kereta-kereta mewah yang disita sepanjang Op Luxury hanya boleh dituntut kembali setelah pemilik menyelesaikan tunggakan cukai jalan dan memperbaharui perlindungan insurans.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 258 kenderaan mewah pelbagai jenama dikesan tidak mematuhi peraturan jalan raya dan ditahan melalui tiga siri Op Luxury yang dilaksanakan di seluruh negara bermula Jun lalu.

Sementara itu, Jazmanie berkata, JPJ sudah membentangkan laporan siasatan berhubung tragedi bas persiaran yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada 9 Jun lalu kepada Kementerian Pengangkutan. 

Beliau bagaimanapun berkata, semua penemuan dan hasil siasatan mengenai tragedi itu belum dapat didedahkan kepada umum.

“Memang terdapat penemuan dan hasil-hasil daripada siasatan tetapi setakat hanya dibentangkan di peringkat kementerian. Belum boleh didedahkan kepada umum buat masa ini. Kementerian akan membuat pemakluman secara rasmi semua perkembangan dan dapatan siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, JPJ mengutip lebih RM100 juta bayaran saman tertunggak sejak Januari lalu melibatkan tiga kategori saman iaitu kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), Notis Temu Siasat 114 dan Notis Saman Tampal JPJ(P)23115. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN