KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket dadah selepas menahan empat individu termasuk dua wanita gadis pelayan pelanggan (GRO) kelab malam di sebuah unit apartment di Taman Kuchai pada 29 Julai lalu.
Penahanan mereka berusia lingkungan 26 hingga 30 tahun itu dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kira-kira pukul 12 tengah hari.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil pemeriksaan lanjut di ruang tamu rumah itu telah menemukan lapan buah kotak berwarna coklat mengandungi 91 bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis bunga ganja.
“Jumlah berat rampasan dianggarkan seberat 42.3 kilogram dengan nilai pasaran mencecah RM1.48 juta.
“Jumlah dadah ini mampu merosakkan seramai 84,570 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Hussein, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menjadikan unit apartment sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki tempatan positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin manakala tiga lagi suspek didapati negatif.
“Tiada sebarang rekod jenayah lampau dikesan ke atas keempat-empat individu itu,” katanya.
Tambah beliau, dua wanita yang ditahan dipercayai masing-masing merupakan teman wanita kepada dua suspek lelaki berkenaan dan bekerja sebagai GRO di sebuah kelab malam.
Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 30 Julai hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Jelas Hussien, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis BMW dan wang tunai RM800 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi Hotline JSJN di talian 012-208 7222.-UTUSAN







