KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail di sini yang menyediakan bilik karaoke dengan bayaran sehingga RM16,000 selain gadis pelayan (GRO) digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Op Gegar itu bermula kira-kira pukul 2.30 pagi dijalankan hasil maklumat dan risikan.
Difahamkan bilik VIP itu hanya dikhaskan untuk pengunjung tetap selain layanan wanita warga asing sebagai teman menyanyi dan minum.
Bilik-bilik karaoke pelbagai saiz itu dikatakan bernilai sekurangnya RM10,000 sehingga RM16,000 bagi setiap sesi.
Pengunjung yang hendak menjadi ‘ahli tetap’ dikatakan perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM100,000 dalam akaun bank sebelum diterima masuk.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 50 individu diperiksa dalam serbuan itu.
Katanya, hasil pemeriksaan menahan 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk sembilan wanita kesemuanya berusia lingkungan umur 20 hingga 43 tahun.
“PATI yang ditahan terdiri daripada 17 warga China, Bangladesh (5), Pakistan (3), Kemboja (1) dan seorang Kazakhstan.
“Wanita yang ditahan disyaki GRO manakala lelaki merupakan pekerja di premis terbabit,” katanya di lokasi operasi di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah tiada dokumen perjalanan serta salah guna pas.
Tambahnya, kesemua yang ditangkap dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN










