Golfisme

Golfisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIADAAN pengetua di Sekolah Berasrama Penuh Tunas Impian betul-betul meninggalkan kesan.

Sudah dua bulan sekolah ini kehilangan nakhoda sejak Haji Salleh, Pengetua lama bertukar jawatan sebagai Pengarah Institut Perguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Dalam tempoh itu, banyak masalah berlaku. Guru-guru Penolong Kanan masing-masing sibuk dengan kerja pentadbiran, guru-guru mengajar sekadar memenuhi jadual, pelajar pula tenggelam dalam rutin yang hambar.

Hari itu, suara garau pembesar suara mengejutkan seluruh warga sekolah.

“Selamat pagi. Saya Halim bin Idris, Pengetua baharu sekolah ini. Hari ini saya tidak akan berucap panjang, tapi saya ingin berkongsi satu perkara…” tegas suaranya.

Para pelajar dan guru mula menoleh antara satu sama lain.

Di tengah-tengah dataran perhimpunan, Pengetua Halim berdiri tegap dengan sebiji bola golf putih di tangan kanan dan sebatang kayu putter di tangan kiri.

“Benda ini nampak kecil,” katanya, mengangkat bola itu tinggi. “Tapi dalam dunia saya, ini adalah harapan. Arah. Matlamat.”

Dia melangkah perlahan ke atas permaidani hijau kecil yang dibentang di atas dataran. Dengan penuh gaya, beliau meletakkan bola dan memukulnya perlahan tapi tepat, masuk ke lubang kecil yang disediakan.

Dataran sunyi. Pelajar terpinga-pinga. Guru tertanya-tanya.

“Hari ini saya tidak ajar kamu sains atau matematik. Saya cuma mahu kamu fikir satu perkara: Dalam hidup kamu, lubang mana yang kamu mahu sasar?”

Wajah-wajah mula berubah. Ada yang masih skeptikal. Ada yang tersenyum sinis.

Di barisan belakang, Cikgu Rahayu,iaitu guru Bahasa Melayu paling lama di sekolah itu berbisik pada rakan sebelahnya.

“Apa yang dia fikir ini? Nak ubah sekolah jadi kelab golf ke?”

Namun Pengetua Halim tidak ambil pusing. Dalam hatinya, beliau tahu bahawa setiap perubahan besar bermula dengan pandangan kecil yang dianggap gila.

Dalam minggu pertama sahaja, beliau mengarahkan satu sudut padang bola lama yang sering berair dan jarang digunakan pelajar, dijadikan mini golf course. Rumput dipotong mengikut spesifikasi, lubang-lubang diletakkan di tempat strategik. Permaidani hijau lembut khas ditempah dari ibu kota. Cikgu Mahadzir, selaku guru Pendidikan Jasmani sibuk membantu.

Cikgu Izaluddin, guru disiplin mengeluh. Cikgu Shah Amiruddin, guru kaunseling mengulum senyum.

“Pengetua kita ini pelik. Tapi biarlah. Asalkan dia tak ganggu sesi pengajaran,” kata Cikgu Suhaimie, guru Fizik.

Namun Pengetua Halim bukan jenis yang mengalah. Setiap pagi, pukul 6.45, beliau sudah berada di green, menunjukkan cara pukulan, mengajar pelajar dan guru yang sudi.

Ada yang mula mencuba. Ada yang hanya melihat dari jauh. Apabila beliau mula mengaitkan konsep pukulan golf dengan fokus pelajaran, perlahan-lahan bibit minat tumbuh.

“Dalam golf, kamu tidak boleh pukul bola sembarangan. Kamu perlu tahu arah, jarak, angin, kekuatan. Sama seperti belajar.

“Kamu mesti tahu apa kamu mahu capai, berapa jauh kamu dari kejayaan, dan strategi kamu ke sana,” katanya pada sesi motivasi pelajar-pelajar tingkatan lima.

Pada mulanya, hanya tiga pelajar dan dua guru yang serius belajar bermain golf. Tapi minggu demi minggu, jumlah itu bertambah.

Dan dalam diam, green mini itu menjadi ruang terapi, refleksi, pertemuan antara minda dan cita-cita.

***
Sedikit demi sedikit sejak Pengetua Halim memulakan ‘green kecil’ di sudut padang, pelajar Sekolah Berasrama Penuh Tunas Impian semakin berani memegang kayu golf, memukul bola ke lubang-lubang kecil sambil berbincang tentang sains, matematik dan strategi. Sesuatu yang aneh pada awal itu perlahan-lahan bertukar menjadi budaya.

“Golf bukan untuk suka-suka,” Pengetua Halim sering mengingatkan mereka.

“Ia tentang melihat matlamat dari jauh, mengira halangan, mengatur kekuatan, dan memilih waktu terbaik untuk memukul.”

Pelajar-pelajar mula mengaitkan prinsip itu dengan akademik mereka. Mereka menyusun jadual belajar mengikut kekuatan dan kelemahan masing-masing. Guru-guru yang dahulunya sinis mula melihat perubahan sikap yang ketara.

“Lihat Aizad tu,” kata Cikgu Rahayu kepada Cikgu Suhaimie.

“Dulu tak siap kerja rumah, asyik ponteng prep. Sekarang, dialah paling awal sampai ke kelas. Malam-malam pun dia latih junior main golf sambil bincang formula fizik.”
Cikgu Suhaimie mengangguk.

“Mungkin betul juga falsafah Pengetua tu. Golf mengajar mereka tentang tenang dan tumpu. Dulu, kita sibuk arah-arah budak. Sekarang, mereka dah boleh urus sendiri.”

Minggu demi minggu, penambahbaikan kecil berlaku. Pelajar tidak hanya belajar untuk peperiksaan, tetapi mula memahami makna ilmu. Mereka belajar dengan tujuan. Mereka tidak takut gagal, kerana dalam golf, setiap pukulan yang tak masuk lubang bukan bermakna berakhir segalanya, tetapi ia hanya satu cubaan untuk diperbetulkan.

Akhirnya, Mac pun tiba. Keputusan peperiksaan SPM diumumkan. Warga sekolah berkumpul di Dewan Besar berhias indah. Pelajar lelaki bersongkok hitam, pelajar perempuan berkebaya putih, guru-guru duduk penuh debar di barisan hadapan.

Pengetua Halim berdiri di podium, tangannya seperti biasa menggenggam sebiji bola golf.

“Anak-anak sekalian, hari ini kita tidak meraikan keputusan semata. Kita meraikan proses, usaha dan kesungguhan. Kita meraikan falsafah yang kamu semua buktikan bahawa matlamat hidup ini seperti lubang golf. Nampak jauh, tapi boleh dicapai.”

Tuan Haji Zaimi, Penolong Kanan Akademik naik ke pentas, membawa berita yang menggetarkan.

“Seramai 47 pelajar mendapat semua A. Gred purata sekolah meningkat daripada 2.93 kepada 1.41. Sekolah kita kini dalam kelompok 10 terbaik SPM peringkat kebangsaan!”

Sorakan bergema. Ada guru yang menekup mulut, terkejut. Ada yang menitiskan air mata. Pelajar saling berpelukan. Cikgu Rahayu berdiri, bertepuk tangan sambil mata berkaca.

Dalam sidang media di Bilik Gerakan Sekolah, seorang wartawan dari sebuah akhbar bertanya, “Tuan pengetua, apakah rahsia sebenar kejayaan sekolah tuan?”

Pengetua Halim hanya tersenyum sambil meletakkan bola kecil itu ke atas meja.

“Satu lubang, satu matlamat. Satu pukulan, satu strategi. Tapi kejayaan sebenar adalah apabila semua orang percaya arah hidup mereka boleh dipilih dan diusahakan. Itu yang kami tanam di sini iaitu golfisme.”

Kementerian Pendidikan mula mengambil perhatian. Sekolah Berasrama Penuh Tunas Impian dijadikan model rujukan.

Pegawai-pegawai dari Putrajaya turun meninjau padang kecil yang menjadi permulaan segalanya. Pengetua-pengetua sekolah lain mula bertanya akan keistimewaan pendekatan ini.

Dalam seminar peringkat kebangsaan, Pengetua Halim diundang membentangkan tajuk: “Golfisme: Pendekatan Fokus dalam Pembinaan Sahsiah Akademik”.

Persembahannya tidak menggunakan carta atau statistik semata, sebaliknya bermula dengan demonstrasi ringkas di atas pentas.

Beliau mengambil bola kecil, meletaknya di atas green mini yang dibentang khas, dan memukulnya perlahan masuk ke dalam lubang.

“Ini bukan kebetulan. Ini hasil niat, pengiraan, dan keyakinan,” katanya.

“Begitu juga pendidikan. Kita bukan sekadar isi kepala murid dengan maklumat. Kita ajar memilih lubang mereka sendiri, dan berusaha ke arahnya.”

Aizad, yang pernah dianggap pelajar bermasalah, muncul pelajar terbaik negeri. Ketika ditanya wartawan apakah titik tolak perubahan dirinya, dia menjawab:
“Saya dulu rasa hidup ini kosong. Tak tahu nak pergi mana. Tapi bila pengetua ajar kami golf, saya belajar melihat jauh. Dalam satu pukulan kecil, saya diajar tentang sabar, strategi dan matlamat.”
Kini, dia menerima tawaran untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di universiti di Jepun.
Malah dia kembali ke sekolah setiap cuti semester untuk berkongsi pengalaman, dan memberi latihan golf kepada adik-adik junior.

***
Sekolah Berasrama Penuh Tunas Impian tidak lagi sunyi. Setiap minggu, ada sahaja rombongan dari sekolah lain datang bertandang. Ada dari Selangor, Melaka, Sarawak, malah satu rombongan khas dari Brunei. Mereka mahu menyaksikan sendiri fenomena yang kini digelar media sebagai “kebangkitan pendidikan menerusi golfisme.”

Namun, tidak semua senang hati. Di bilik guru, perbincangan yang dahulu hanya tentang jadual kelas dan tugasan kini mula menjadi perbalahan kecil.

“Takkan semua kita nak tukar ikut falsafah golf?” suara Cikgu Malik meninggi. “Kita ini cikgu Sejarah, cikgu Geografi. Bukannya jurulatih sukan!”

Cikgu Rahayu menarik nafas panjang. Kini beliau menjadi antara penyokong terkuat falsafah Pengetua Halim.

“Bukan soal tukar subjek, Malik. Ini soal pendekatan. Golf cuma alat. Yang penting membentuk cara berfikir murid supaya mereka boleh nampak hala tuju sendiri.”

“Ya, tapi kenapa kita yang kena ubah cara? Dulu pun pelajar lulus juga. Tak perlu ubah padang, ubah sistem. Ini semua terlalu idealis!” Tegas Cikgu Malik lagi.

Ketegangan itu sampai juga ke telinga Pengetua Halim. Namun seperti biasa, beliau menyambutnya tenang.

“Tidak semua orang nampak arah yang sama, Malik,” katanya ketika pertemuan khas.

“Tapi kita boleh sepakat dalam satu perkara, iaitu mahu murid kita berjaya. Golf cuma simbol. Kalau kamu rasa pendekatan ini tak sesuai, saya tak paksa. Tapi jangan tutup jalan kepada sesiapa yang mahu mencuba.”

Walaupun begitu, gelombang perubahan semakin kuat. Pelajar-pelajar dari sekolah luar mula menghubungi pelajar SBP Tunas Impian untuk belajar teknik belajar melalui golfisme.

Di media sosial, video pendek Aizad mengajar teknik “fokus pukulan = fokus peperiksaan” tular dan ditonton lebih 300,000 kali. Sekolah mereka menjadi penanda aras baharu.

Tengah hari itu, Pengetua Halim menerima sepucuk surat rasmi. Capnya tertera logo kementerian. Isinya ringkas tetapi berat:

“Dimaklumkan bahawa YBhg. Tuan telah disenaraikan sebagai calon utama Anugerah Tokoh Pendidikan Inovatif Peringkat Kebangsaan. Sila hadir ke Putrajaya pada 25 Ogos untuk temuduga khas.”
Wajah Pengetua Halim tidak berubah. Namun jauh di dalam hatinya, dia tahu pukulan pertamanya di atas padang setahun lalu akhirnya tiba ke lubang kejayaan.

***
25 Ogos menjelma. Dewan Perdana Putrajaya dipenuhi warga pendidik dari seluruh negara. Semuanya berpakaian rapi, membawa cita dan cerita masing-masing.

Pengetua Halim duduk tenang di barisan hadapan, mengenakan kot kelabu sederhana, tetapi tetap menggenggam bola kecil putih di tangan kanan sebagai lambang perjuangannya yang tak pernah dilepaskan.

Di atas pentas, pengerusi majlis memanggil satu demi satu calon Tokoh Pendidikan Inovatif untuk menyampaikan sesi perkongsian. Nama beliau disebut terakhir.

“Dipersilakan Tuan Haji Halim Idris dari Sekolah Berasrama Penuh Tunas Impian, Pahang.”

Beliau berdiri. Langkahnya perlahan tapi mantap. Di belakangnya, slaid hitam terpampang satu baris sahaja:

“Setiap anak murid adalah pemegang kayu golf nasibnya.” Tanpa teks panjang. Hanya satu video ringkas dipaparkan: rakaman pelajar sekolahnya memukul bola golf sambil menyebut cita-cita mereka.

“Saya nak jadi doktor. Saya nak jadi guru. Saya nak bantu ayah. Saya nak ubah nasib kampung saya…”

Beliau bersuara selepas video tamat.

“Saya bukan jurulatih sukan. Saya bukan motivator profesional. Saya cuma pendidik biasa yang percaya, pendidikan adalah keupayaan memberi arah, bukan hanya arahan.

“Saya jadikan golf sebagai alat, kerana di situlah saya temui cara untuk menyampaikan nilai. Dalam satu pukulan, mereka belajar matlamat, keazaman, dan sabar.

“Dalam setiap kesilapan, mereka belajar betulkan sudut dan pukul semula. Pendidikan bukan sekadar isi otak, tapi membina jiwa.”

Tepukan bergema. Ada yang berdiri, ada yang tunduk sebak.

Pengetua Halim tidak menangis. Tetapi dalam matanya terpantul cahaya seperti pantulan matahari di atas rumput hijau yang baru dipotong.

Hari itu, beliau dinobatkan sebagai Tokoh Pendidikan Inovatif Negara 2025.

tetapi di hatinya, anugerah sebenar bukan itu. Anugerah sebenar adalah apabila seorang pelajar bernama Aizad menghantar sekeping poskad dari luar negara, bertulis:

“Tuan Pengetua, saya kini sedang belajar di bumi asing, jauh dari green tuan. Tapi setiap kali saya berasa sesat, saya bayangkan saya sedang pegang kayu golf di tangan, dan saya pilih lubang

arah hidup saya semula. Terima kasih kerana ajar saya cara memukul.”

Beberapa bulan kemudian, Pengetua Halim bersara secara rasmi. Tapi legasi golfisme tidak bersara.

Ketika tiba waktu malam, ada guru-guru masih datang diam-diam ke green, memukul bola ke lubang dengan harapan mereka sendiri.

Ada memohon naik pangkat. Ada berharap anak mereka berjaya. Ada yang hanya memerlukan ketenangan. Kerana golfisme bukan hanya untuk pelajar. Ia adalah cara berfikir. Cara hidup.
Dan di bawah sinar bulan, di atas rumput hijau yang membisikkan zikir, golfisme terus bernafas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×