SEGAMAT: Penduduk daerah ini sekali lagi dikejutkan dengan kejadian gempa bumi lemah buat kali keempat pada pukul 7.56 malam ini, di sini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi berkenaan berkoordinat 2.6° Utara dan 102.8° Timur, magnitud 2.5 pada jarak 13 kilometer utara dari Segamat dengan kedalaman 10 kilometer.
“Gegaran dirasai di Johor dan pihak Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini, ” katanya
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi berkata, pihaknya maklum akan kejadian gempa bumi lemah terbaru itu.
“Sebagai langkah kesiapsiagaan di peringkat JPBD, diminta semua pihak berkuasa untuk melakukan pemantauan di sekitar daerah Segamat.
“Laporan yang diperoleh daripada jabatan serta agensi berkaitan isu gegaran (gempa bumi lemah) pada malam ini amat digalakkan untuk dikongsikan bagi pemantauan bersama,”ujar beliau. – UTUSAN