Gaduh semasa perlawanan bola sepak, dua pasukan didenda - Utusan Malaysia

Gaduh semasa perlawanan bola sepak, dua pasukan didenda

INSIDEN pergaduhan yang tercetus semasa perlawanan bola sepak di Teluk Intan minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pasukan Padang Tembak FC dan Jenderata FC menerima padah apabila dikenakan hukuman denda oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Daerah Hilir Perak selepas pemain mereka terlibat insiden pergaduhan ketika perlawanan Liga Integriti Hilir Perak Piala Datuk Azhar Jamaluddin, 7 Ogos lalu.

Persatuan Bola Sepak Daerah Hilir Perak dalam kenyataannya memaklumkan, dua pasukan itu masing-masing didenda RM3,000 susulan insiden yang berlaku di Padang Speedy, Teluk Intan.

“Dalam persidangan yang diadakan baru-baru ini dengan memanggil wakil kedua-dua pasukan, jawatankuasa tatatertib memutuskan bahawa pengurus pasukan Padang Tembak FC dikenakan tindakan penggantungan selama lima tahun.

“Penggantungan terhadap pengurus pasukan itu berkuatkuasa serta-merta,” katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, tindakan juga diambil terhadap pemain kedua-dua pasukan yang terlibat iaitu penggantungan selama tiga tahun berkuatkuasa serta-merta.

“Keputusan perlawanan dikekalkan kerana telah bermain lebih daripada dua per tiga masa permainan.

“Kedua-dua pasukan boleh membuat rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan,” ujar kenyataan itu.

Media pada Khamis lalu melaporkan, empat lelaki dikenakan bon berkelakuan baik selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan selepas mengaku bersalah bagi kesalahan melakukan gaduh gempar ketika perlawanan bola sepak di Padang Speedy, Teluk Intan.

Tertuduh, Harith Nazreen Shah Abd. Ghani, 21; Muhammad Danial Asmawi, 23; R. Tharmaraj, 28, dan E. Paranitharan, 29, dijatuhi hukuman tersebut selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Pada prosiding sama, seorang lagi tertuduh, Muhamad Kuzairin Kamaruddin, 31, dijatuhi hukuman denda RM600 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Muhammad Syaffiq Syazwan Baharom, 23.

Menerusi laporan media pada 8 Ogos lalu, tujuh lelaki ditahan susulan pergaduhan ketika separuh masa kedua perlawanan bola sepak di Padang Speedy.

Difahamkan, kejadian pada pukul 5 petang itu bermula apabila seorang pemain melakukan terjahan keras terhadap pemain pasukan lawan sehingga mengakibatkan pertelingkahan antara mereka.

Pertelingkahan itu kemudian menyebabkan pergaduhan besar membabitkan semua pemain serta dua penonton selain pengadil yang turut diserang oleh beberapa individu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN