TELUK INTAN: Sebuah firma automotif Cina selain Proton akan memulakan fasa pertama pembinaan kilang pemasangan kenderaannya di sekitar Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) yang bakal mengubah Tanjung Malim menjadi sebuah hab automotif bertaraf global.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaburan antarabangsa berimpak tinggi yang bernilai berbilion ringgit itu akan diumumkan sendiri oleh firma berkenaan tidak lama lagi setelah mendapat kelulusan sepenuhnya kerajaan China.
“Urusan di sini (Perak) telah selesai iaitu pengambilan tanah, cuma tidak boleh diumumkan sebab ada peraturan-peraturan peringkat negara China.
“Jika di Proton City melangkau berbilion ringgit ia (nilai) pun mesti sama. Terletak di sekitar AHTV dengan fasa pertama melibatkan kawasan seluas 80.93 hektar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Karnival Sukan Bendang Komuniti Perak Sejahtera 2030 Daerah Hilir Perak 2025 di Sungai Manik di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Pegawai Daerah Hilir Perak, Mufidah Mahfodz dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Zairul Akmal Kasim.
Difahamkan, firma automotif berkenaan menumpukan pemasangan kenderaan elektrik (EV) untuk dipasarkan di seluruh dunia.
Saarani berkata, strategi kerajaan negeri yang menawarkan insentif menarik dan perkhidmatan mesra pelabur menyebabkan firma automotif itu berminat untuk melabur di Tanjung Malim walaupun menjadi rebutan Indonesia dan beberapa negeri lain.
“Kita berjaya pintas Indonesia dan beberapa negeri lain dengan beberapa insentif. Yang paling penting menawarkan perkhidmatan lebih mesra pelabur.
“Firma dah setuju, perjanjian telah ditandatangani dan tanah telah tersedia tunggu masuk jentera sahaja. Bila diumumkan secara rasmi tidak boleh sebut kerana ini rahsia perniagaan,” katanya. – UTUSAN










