Feri Aceh-Pulau Pinang: Fasa awal untuk penumpang, kargo

Feri Aceh-Pulau Pinang: Fasa awal untuk penumpang, kargo

YEOH SOON HIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Fasa permulaan bagi laluan feri baharu yang menghubungkan Aceh di Indonesia dan Pulau Pinang dijangka memberi tumpuan kepada perkhidmatan feri penumpang dan kargo.

Keputusan itu dicapai selepas satu perbincangan dibuat antara Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bersama pihak berkepentingan di wilayah berkenaan.

Menurut Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin, langkah tersebut diambil bagi memastikan kelancaran operasi awal sementara menunggu kelulusan tambahan bagi membolehkan kenderaan berdaftar asing dibawa masuk.

“Pelabuhan Pulau Pinang yang diwakili oleh Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) selaku operator pelabuhan yang dilantik juga telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan Aceh bagi mendapatkan maklumat terperinci serta bertukar pandangan berhubung tahap kesiapsiagaan Pulau Pinang dalam menerima perkhidmatan feri dari Aceh,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Wilayah Aceh akan melancarkan satu laluan terus feri baharu dari Pelabuhan Krueng Geukueh di Muara Satu ke Pulau Pinang dan persiapan ke arah itu kini sedang giat dijalankan di pelabuhan terbabit.

Mengulas lanjut, Soon Hin berkata, kapal yang dicadangkan bagi operasi tersebut dianggarkan berukuran sepanjang 59 meter serta mampu memuatkan kapasiti sehingga 200 orang bagi kapal penumpang dan 100 tan untuk kapal kargo.

“Bagi tujuan pelaksanaan pula, Pelabuhan Pulau Pinang telah mengenal pasti fasiliti pelabuhan yang boleh digunakan untuk operasi laluan feri ini.

“Sebagai contoh, kapal penumpang akan berlabuh di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) untuk menurunkan penumpang manakala kapal kargo pula akan meneruskan operasi pemunggahan serta pemindahan kargo di Butterworth Deep Water Wharves (BDWW),” kata beliau.

Bagaimanapun katanya, beberapa aspek lain juga perlu diteliti sebelum laluan feri baharu itu dapat direalisasikan termasuk mengenal pasti operator feri yang berkelayakan untuk menjalankan operasi, menetapkan laluan permulaan sama ada dari Aceh atau dari Pulau Pinang serta menyusun jadual perkhidmatan feri yang selaras dengan keperluan pengguna.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN