KUALA LUMPUR: Langit Malaysia dijangka dihiasi fenomena Hujan Meteor Perseids yang mencapai kemuncaknya lewat malam ini sehingga awal pagi esok.
Ia dengan anggaran sehingga 100 meteor sejam berpotensi kelihatan bagi mereka yang berada di lokasi sesuai.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia, fenomena tahunan yang berlaku antara 17 Julai hingga 24 Ogos itu boleh disaksikan dengan mata kasar tanpa memerlukan teleskop, asalkan pemerhati berada di kawasan gelap dan bebas daripada pencemaran cahaya.
“Bagaimanapun, bagi pemerhati di Malaysia, kehadiran bulan dalam fasa sukuan akhir (waning gibbous) dijangka menyebabkan langit lebih cerah, sekali gus mengurangkan bilangan meteor yang dapat dilihat,” katanya dalam kenyataan.
Hujan Meteor Perseids mendapat namanya daripada titik kemunculan meteor di kawasan buruj Perseus.
Fenomena ini berlaku apabila Bumi melintasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle yang melepaskan debu semasa menghampiri Matahari.
Sisa debu itu kemudiannya terbakar apabila memasuki atmosfera bumi, menghasilkan jalur cahaya panjang di langit.
Komet Swift-Tuttle, yang dianggarkan mempunyai nukleus berdiameter 26 kilometer, mengambil masa 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya mengelilingi Matahari.
Ia kali terakhir menghampiri bumi pada 1992 dan dijangka kembali pada tahun 2126.
Kemunculan fenomena ini sekali lagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menghayati keindahan alam semesta dan menyaksikan salah satu acara astronomi paling menakjubkan setiap tahun. – UTUSAN